BANK PERTANIAN MALAYSIA

Ucapan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein S.M.N., O.K.I.S., tatkala merasmikan Mesyuarat Pertama Lembaga Pengarah Bank Pertanian Malaysia pada 21hb. Oktober, 1969, di-Bilik Gerakan Negara.


 

Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana telah sudi menjemput saya bagi memulakan Mesyuarat Pertama Lembaga Pengarah Bank Pertanian Malaysia ini.  Dengan adanya mesyuarat yang pertama pada hari ini adalah bermakna pada hari ini Bank ini mulalah berjalan.  Sukacita saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan-tuan semua yang telah sudi menerima tawaran  saya untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Bank Pertanian Malaysia ini.

Seperti tuan-tuan sedia mengetahui, bahawa usaha-usaha pembangunan negara kita adalah bergantung kepada usaha-usaha dalam lapangan pertanian.  Pertanian masih menjadi satu perusahaan yang mustahak di negara kita ini dan dengan sebab itu kita mestilah menambahkan usaha-usaha yang lebih giat lagi dalam lapangan perusahaan ini, bukan sahaja untuk hendak membesar dan meluaskan perkembangan iktisad di negara kita, bahkan untuk hendak memberi peluang bekerja kepada rakyat di negara kita.  Tuan-tuan sedia ketahui dalam 10 tahun yang lalu, sejak kita melancarkan Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai kemudahan dan juga berbagai rancangan-rancangan kemajuan di seluruh negara kita.  Begitu juga Kerajaan telah berusaha hendak memperkembangkan pembangunan dalam lapangan pertanian. Usaha-usaha ini yang boleh dikatakan progresif yang telah mendatangkan hasil yang memuaskan perlu diperluaskan. 

Satu daripada lapangan-lapangan yang mustahak kita menumpukan usaha yang lebih ialah dalam bidang pinjaman wang kepada petani-petani untuk mereka menjadikan modal menjalankan perusahaan mereka dengan alat-alat moden supaya usaha-usaha yang mereka jalankan dalam lapangan pertanian akan mendapat hasil yang lebih sempurna dan dengan itu pendapatan mereka akan bertambah.

Sebenarnya tujuan Bank Pertanian Malaysia ini ialah hendak memberi bantuan kredit daripada Kumpulan Wang Awam untuk tujuan-tujuan pertanian kepada petani menjalankan usaha-usaha mereka bertanam, memproses atau untuk pemasaran.

Satu daripada rancangan yang besar pada hari ini ialah Rancangan Pengairan Muda dan Kemubu. Dalam lapangan ini saya berharap Bank ini akan mengambil bahagian yang penting iaitu untuk mengadakan sistem kredit bagi 2 kawasan-kawasan ini yang mempunyai luas kawasan tanaman lebih kurang 300,000 ekar. Saya telah diberitahu bahawa pihak Bank dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah menyediakan satu rancangan kredit bagi kawasan Pengairan Muda yang akan dicuba secara pilot projek tidak lama lagi iaitu dalam bulan Februari akan datang. Rancangan kredit ini sangat mustahak diadakan untuk membantu petani-petani dalam usaha-usaha mereka menanam 2 kali setahun. Dengan usaha tanaman 2 kali setahun bermaknalah petani-petani mesti menggunakan cara tanaman yang moden seperti menggunakan jentera, menggunakan baja yang lebih baik.  Masalah-masalah menuai, pengeringan dan pemasaran akan juga timbul.  Penyelesaian masalah-masalah ini berkehendakkan organisasi yang sempurna dan petani-petani pula berkehendakkan bantuan-bantuan pinjaman wang untuk mendapatkan alat-alat jentera itu.

Saya telah diberitahu apabila Rancangan Kredit ini dilaksanakan kelak tidak kurang daripada RM50 juta akan berpusing sebagai modal pinjaman bagi kegunaan petani-petani di dalam kawasan-kawasan yang tersebut pada tiap-tiap satu musim.  Dengan ini nyatalah bahawa rancangan kredit ini adalah satu rancangan yang besar yang belum pernah kita adakan dan berkehendakan jagaan yang sempurna kerana kita berkehendakan kejayaan usaha-usaha yang kita jalankan itu.

Sungguhpun tujuan utama atau tanggungjawab utama bagi Bank Pertanian ini ialah bagi mengadakan rancangan kredit bagi kedua-dua kawasan ini, saya berharap bahawa Bank ini akan dapat mengadakan rancangan-rancangan kredit atau rancangan-rancangan pinjaman dalam lapangan-lapangan pertanian yang lain.

Tuan sedia maklum pada masa-masa lampau ada banyak badan-badan di negara kita telah ditubuhkan dengan tujuan hendak memberi bantuan kepada petani-petani, memberi pinjaman-pinjaman wang dan sebagainya.  Badan-badan ini samada didirikan oleh Kerajaan atau pihak-pihak yang lain, sebahagian daripada usaha mereka telah tidak memberi hasil yang memuaskan hati kerana bantuan-bantuan itu tidak disampaikan dengan sempurna kepada petani-petani oleh kerana sebab-sebab yang tertentu.  Kadang-kadang wang yang diuntukkan kerana bantuan pinjaman ada tersimpan di dalam bank-bank perniagaan dengan tidak digunakan bagi tujuan pertanian.  Saya harap dengan tertubuhnya Bank Pertanian Malaysia ini, segala wang-wang yang patut digunakan untuk kemajuan pertanian dapat digunakan untuk rancangan kredit atau pinjaman yang dapat dijalankan dengan lebih lancar dan dengan cara yang lebih sempurna supaya wang-wang untuk sektor pertanian hendaklah sampai dan digunakan kepada sektor pertanian.

Kesimpulannya, Bank ini bertujuan menolong untuk mempercepatkan dan memperkembangkan pembangunan-pembangunan di Malaysia ini dan mempunyai tanggungjawab dalam kemajuan pertanian di negara kita. Saya berharap tuan-tuan akan menjaga Bank ini dengan baik supaya dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna.  Mungkin kemajuan Bank ini akan bergantung kepada faktor-faktor yang kerap kali di luar kawalan Bank ini seperti kepada sambutan petani-petani dan kerjasama daripada mereka sendiri.  Oleh itu sangatlah mustahak petani-petani diberi latihan dan didikan, teguran yang wajar.  Pelajaran mestilah diperluaskan juga supaya mereka dapat menggunakan kemajuan-kemajuan sains dan teknologi atau cara-cara berusaha dengan menggunakan alat-alat moden.  Dengan begini dapatlah mereka menggunakan kemudahan-kemudahan yang diadakan oleh Bank ini, iaitu kemudahan kredit dan lain-lain.  

Saya juga berharap pihak tertentu akan menolong supaya mempengaruhi petani-petani supaya mereka itu berani menukar sikap dan cara mereka berusaha seperti saya katakan tadi.  Masa sudahlah sampai bagi kita oleh sebab peredaran zaman untuk menghadapi cabaran zaman kemajuan ini supaya dapat kita menjalankan perusahaan dengan lebih jaya dan lebih berkesan lagi.  Inilah sepenuhnya harapan saya kepada Bank ini, dan juga kepada petani-petani supaya memberi sambutan dan kerjasama yang sempurna untuk menjayakan Bank ini.  Saya berharap kepada petani-petani sekalian bukanlah untuk mensifatkan Bank ini tempat meminjam wang sahaja, bahkan juga tempat simpanan wang.  Janganlah ingat pinjaman wang itu tidak hendak dibayar balik kerana Bank Pertanian mesti berjalan dengan teratur mengikut cara Bank untuk membolehkannya memusingkan modalnya. 

Saya harap petani-petani akan dapat menggunakan Bank ini samada dengan meminjam atau   menyimpan wang dengan cara tertentu dan dengan itu dapatlah mereka mempunyai modal dan kemudahan-kemudahan untuk memperluaskan mata pencarian mereka dan juga untuk hendak menjalankan perusahaan dengan cara yang lebih moden, yang lebih teratur dan lebih sempurna lagi. 

Saya percaya Bank ini adalah di bawah jagaan yang baik dan menaruh kepercayaan yang penuh tuan-tuan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna.  Bank ini adalah dibawah jagaan saya sendiri pada masa ini dan saya berharaplah Bank ini dapat dijalankan dengan sempurna, supaya dapat kita memenuhi kehendak-kehendak rakyat dalam lapangan pertanian yang bekehendakkan pertolongan untuk hendak menjayakan usaha-usaha mereka itu.  Seperti yang saya katakan tadi kita mestilah mengutamakan usaha-usaha dalam lapangan pertanian di negara kita Malaysia ini dan banyak lagi kawasan-kawasan pertanian yang akan kita buka pada masa akan datang.  Bank ini mempunyai peluang yang besar dan luas untuk menjalankan tugasnya bagi menolong petani-petani bukan sahaja dalam lapangan mengeluarkan hasil padi bahkan dalam lapangan-lapangan lain juga Bank ini dapat menolong peladang-peladang. 

Inilah sahaja ucapan saya dan saya sekali lagi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tuan-tuan sekalian kerana sudi menerima tawaran menjadi ahli Lembaga Pengarah Bank Pertanian Malaysia ini dan saya mempunyai kepercayaan yang penuh tuan-tuan akan menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna dan Bank yang baru ditubuhkan pada hari ini akan maju dari satu masa ke satu masa.  

Sekianlah sahaja saya ucapkan kepada tuan-tuan semua selamat maju jaya dan terima kasih. 

 

 

Sumber:  Bank Pertanian Malaysia, Laporan dan Penyata Kira-Kira 1969/70

 Laman Utama