UCAPAN ALUAN YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

DI PERCAMBAHAN FIKIRAN BAGI RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN

27-28 APRIL 2006

 BERTEMPAT GUOMAN PORT DICKSON RESORT

PORT DICKSON. NEGERI SEMBILAN

 

MUKADIMAH

1.    Syukur kehadrat Allah Subhanahu wa taala kerana dengan izinNya, kita dapat berjumpa pada hari ini untuk mengadakan percambahan fikiran bagi merangka pelan tindakan mikro bagi mencapai sasaran makro yang telah ditetapkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

 

2.    Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, Kementerian kita telah diperuntukkan siling pembangunan sebanyak RM6.96 bilion.  Ini merupakan lebih 70% daripada siling keseluruhan yang diluluskan bagi sektor pertanian sebanyak RM11.5 bilion.  Ini merupakan siling yang paling terbesar yang diagihkan kepada Kementerian kita.  Siling besar ini mencerminkan satu tanggungjawab yang berat dan amat mencabar kerana kita akan memajukan sektor agro-makanan ini sebagai lokomotif pertumbuhan ekonomi negara yang ketiga selepas sumbangan sektor perkilangan dan perkhidmatan.

 

MACRO KEY PERFORMANCE INDICATORS

3.    Key Performance Indicators di peringkat makro bagi kita bagi mengukur kejayaan dasar, strategi dan program serta projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ialah:

a.    menjanakan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 7.6% berbanding dengan sumbangan sektor perladangan sebanyak 3.2%;

b.    mencapai imbangan perdagangan dalam makanan sebanyak RM1.2 bilion;

c.    mencapai pertumbuhan nilai ditambah bagi industri asas tani sebanyak 5.2%;

d.    dan menarik pelaburan swasta sebanyak RM20.1 bilion bagi mengkomersialkan pengeluaran sektor makanan dan industri asas tani.

 

4.    Sasaran utama pembangunan pengeluaran agro-makanan dan pemprosesan hiliran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ialah untuk memperbanyakkan golongan petani, penternak dan nelayan moden dan komersial serta agro-entrepreneurs untuk menerajui pembangunan agro-makanan yang private-sector driven tanpa mengabaikan petani tradisional yang akan ditingkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran mereka agar masyarakat tani yang mundur ini diserapkan dalam proses transformasi ini supaya dapat meningkat produktiviti dan pendapatan mereka.

 

5.    Kita telah mempunyai dasar dan hala tuju pembangunan agro-makanan.  Kita telah merangka strategi dan program serta projek pembangunan bagi memodenkan agro-makanan.  Kita mempunyai jentera pelaksanaan yang diwujudkan di bawah mekanisme MOA Incorporated.  Kita juga telah mengenalpastikan kegiatan agro-makanan dan bukan makanan yang bakal menjanakan pertumbuhan seperti berikut:-

a.    Menambahkan pengeluaran perikanan, tanaman dan ternakan seperti Zon Industri Akuakultur (ZIA), tangkapan ikan laut dalam dan tuna, Program Penambahan Daging Negara dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan;

b.    memajukan sumber pertumbuhan baru seperti industri asas tani, rumpai laut, tangkapan ikan laut dalam dan tuna, pengeluaran halal dan agro-bioteknologi; dan

c.    memajukan pengeluaran bukan makanan terdiri daripada ikan hiasan dan bunga-bungaan.

 

6.    Hari ini kita berjumpa untuk mengadakan percambahan fikiran untuk menghalusi penyediaan key performance indicators di peringkat mikro.  Percambahan fikiran yang diadakan selama tiga hari ini akan menghasilkan output seperti berikut:

a.    menyediakan pelan tindakan sektoral dengan sasaran tahunan bagi membolehkan Kementerian ini mencapai unjuran pertumbuhan pengeluaran agro-makanan sebanyak dan bukan makanan 6.8%;

b.    membukukan pelan tindakan sektoral sebagai implementation book (IB) yang dikehendaki oleh Unit Perancang Ekonomi bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan; dan

c.    mendapatkan pandangan pihak swasta bagi mengalakkan penyertaan dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

 

KE ARAH PELAKSANAAN CEMERLANG

7.    Saya ingin mengingatkan bahawa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) merupakan tempoh kritikal bagi menentukan kejayaan pelaksanaan dan pencapaian Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) yang bermula pada tahun 1998.  Ini adalah kerana pelaksanaan Dasar Pertanian Negara Ketiga kini berada dalam jangkamasa lima tahun terakhir dan ia coincide dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan.

 

8.    Kunci utama bagi menjayakan segala perancangan dan pembangunan agro-makanan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ialah flawless execution of the plan.  Selain dari menyediakan pelan tindakan dan key performance indicators, pelaksanaan flawless ini hanya boleh dibuat apabila kita mempunyai kepimpinan, keempunyaan, common sense dan sense of urgency.

 

a.    Kepimpinan

9.    Setiap visi, misi dan matlamat Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi serta strategi pelaksanaannya menjayakan core business kita mesti mempunyai kepimpinan di semua peringkat jentera pelaksanaan dari Ketua Pengarah, pengurusan pertengahan dan pelaksana di peringkat bawahan.  Walaupun semua peringkat dikehendaki menampilkan kepimpinan, tetapi saya berpendapat kepimpinan di peringkat Ketua Pengarah adalah amat penting dan kritikal kepada kejayaan kerana penglibatan aktif daripada Ketua Pengarah memberi satu isyarat mengenai commitment terhadap perancangan dan pelaksanaan dari segi keberkesanan kos, jadual pelaksanaan, output dan impak ke atas kumpulan sasaran.  Sehubungan ini, Ketua Pengarah diibaratkan sebagai seorang nakhoda, dan tanpa nakhoda yang mengemudikan kapal, kita tidak akan sampai ke destinasi yang ditujui dengan selamat dan tepat pada tempoh masa yang ditetapkan.

 

b.    Keempunyaan

10.    Setiap Ketua Pengarah, pengurusan pertengahan dan pelaksana di peringkat bawahan mesti mempunyai nilai keempunyaan.  Apabila kita mempunyai dan mengamalkan nilai keempunyaan kita akan berkomited terhadap kejayaan sesuatu program atau projek yang dilaksanakan.  Malah keempunyaan merupakan nilai pendorong yang akan menentukan sejauh mana kita akan berjalan extra mile untuk mencari penyelesaian kepada masalah dan isu berkaitan dengan perancangan dan pelaksanaan peembangunan sektor agro-makanan.

 

c.    Common Sense

11.    Penggunaan common sense adalah kriteria amat penting dalam perancangan di dalam suasana sumber yang terhad.  Matlamat common sense ialah menggunakan input yang paling minimum bagi mencapai matlamat kita.  Ia bertujuan untuk mencapai operational effectiveness dalam menentukan strategi serta program dan projek yang paling cekap dan efektif dengan keberkesanan kos bagi mencapai matlamat Kemeterian kita.  Kita dikatakan tidak menggunakan common sense dan akan membazirkan sumber kewangan sekiranya kita menggunakan peruntukan RM1 juta untuk membantu 10 orang petani atau membina satu bangunan yang kemudiannya menjadi gajah putih.

 

d.    Sense Of Urgency

12.    Kita sentiasa mempunyai sense of urgency dalam segala pelaksanaan program dan projek di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan kerana kita mempunyai tempoh selama lima tahun sahaja.  Tempoh masa ini sebenarnya amat ringkas kerana pelaksanaan program dan projek pembangunan pada tahun 2006 hanya tertumpu kepada projek sambungan sahaja, dan kita akan melaksanakan projek-projek baru mulai tahun 2007 sahaja.  Sebaliknya kita mesti mengelakkan daripada terperangkap budaya kerja selesa yang mengutamakan nilai kerja NATO-No Action Talk Only!.

 

MEMANTAPKAN PELAKSANAAN

13.    Selain dari dilengkapi dengan nilai-nilai budaya kerja cemerlang seperti kepimpinan, keempunyaan, common sense dan sense of urgency, kita juga mesti mempunyai struktur jentera pelaksanaan dan modus operandi pengurusan.

 

i.    Jentera Pemantauan

14.    Sebagai langkah untuk memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe9) mencapai dasar dan hala tuju serta strategi dan sasaran yang ditetapkan, kita akan menubuhkan jentera pemantauan yang melibatkan Jawatankuasa Pemandu Pemantauan Pelaksanaan RMKe9 yang dipengerusikan oleh saya, dan Jawatankuaa Kerja Pemantauan Pelaksanaan RMKe9 Subsektor Pengeluaran yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha.  Dua Jawatankuasa ini akan dibantu oleh 10 Jawatankuasa Kecil yang akan menghalusi pelaksanaan kegiatan 4 subsektor pengeluaran utama dan 6 kegiatan khidmat sokongan seperti R&D, pemasaran, keperluan kewangan, pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan insentif.

ii.    Pengurusan

15.    Selain dari itu, kita perlu memantapkan pengurusan organisasi dan pengurusan pelaksanaan.  Ia memerlukan kita mengkaji semula amalan pengurusan utama dalam organisasi yang melibatkan kajian semula ke atas budaya kerja, struktur organisasi, strategi dan pelaksanaan, yang meliputi asas-asas bagi menguruskan core business kita.

 

16.    Pertama, kita mesti mengamalkan budaya kerja organisasi yang mengutamakan prestasi cemerlang dan tingkah laku etika dan bermoral tinggi.  Kedua, Kementerian dan jabatan-jabatan perlu sentiasa menyemak semula tatacara peraturan dan prosedur pentadbiran yang sudah outdated dan menimbulkan kerenah birokrasi yang melambatkan proses pelaksanaan dan memudarkan semangat kreativiti dan inovasi di kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian.  Ketiga, kita perlu mengakui bahawa sumber perbelanjaan adalah terhad dan tidak berupaya menyediakan kesemua keperluan dalam sistem penyampaian dan perkhidmatan sokongan.  Oleh itu, kita perlu mengadakan analisis bagi menentukan infrastruktur atau perkhidmatan yang paling mustahak disediakan kepada pelanggan kita dan memfokuskan menggunakan sumber terhad dan tenaga serta kepakaran kita untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan dengan cekap dan murah.

 

iii.    Pendekatan Turun Padang

Akhir sekali, komponen yang amat penting dalam pelaksanaan ialah penglibatan secara langsung dan aktif oleh Ketua-ketua jabatan/agensi dalam memastikan program dan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.  Selaras dengan konsep pengurusan management by walking around, kita perlu mengamalkan pendekatan turun ke padang untuk meninjau pelaksanaan program dan projek tersebut dari peringkat perancangan, pelaksanaan dan operasi bagi memahami isu dan masalah yang berkaitan  dan mengambil tindakan pro-aktif mengatasinya.  Pendekatan ini nescaya akan dapat mengelakkan kelewatan program dan projek disiapkan, terbengkalai di separuh jalan pelaksanaan atau operasi tidak berdaya maju serta mapan.

 

PENUTUP

Dulu sektor agro-makanan dianggap sebagai satu kegiatan yang masa depanya amat gelap sekali.  Hari ini Kerajaan kita berkomited untuk menjadikan sektor agro-makanan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara.  Kita memikul tanggungjawab amat berat untuk deliver komitmen Kerajaan ini.  Kita mempunyai tempoh masa selama lima tahun untuk kita menunaikan wawasan untuk memajukan sektor agro-makanan sebagai penjana pertumbuhan ekonomi negara setanding dengan sektor perkilangan dan perkhidmatan.

 

 

Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

  27 April 2006.