UCAPAN ALUAN Y. BHG. TAN SRI DATO’ SRI

KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MALAYSIA

DI SEMINAR PELAN IMBANGAN DAGANGAN BAGI INDUSTRI  PERTANIAN DAN MAKANAN (BOT)

PADA 1 OGOS 2005

DI HOTEL MARRIOTT, PUTRAJAYA

   

 

 

 

Saudari Pengacara Majlis;

 

YB. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin,

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia

 

Y.B. Dato Rohani Abdul Karim

Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia,

 

Y. Bhg. Datuk Dr. Saharan bin Hj. Anang

Ketua Pengarah MARDI,

 

Yang Berhormat-Yang Berhormat;

 

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada semua.

 

 

 

MUKADIMAH

 

 

1.    Syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya, kita dapat berjumpa untuk membincangkan usaha untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran makanan dalam sektor pertanian di dalam Seminar Imbangan Dagangan Pertanian dan Makanan pada hari ini.

 

2.    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang dapat melapangkan masa untuk menghadiri Seminar hari ini,  khususnya usahawan dan pelabur tempatan. Ini adalah kerana Seminar ini bertujuan untuk menerangkan perancangan dan hala tuju pembangunan sektor pengeluaran makanan selaras dengan Balance of Trade Plan 2010 dan The Cluster-based Development of Agriculture and Agro-Industries.

 

 

 

HALATUJU PEMBANGUNAN PERTANIAN

 

3.    Sektor pengeluaran makanan pertanian kini diberi suntikan nafas baru supaya sektor yang berpotensi tetapi agak ketinggalan dapat dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baru. Ini merupakan peluang bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai  penggubal dasar dan agensi pelaksana untuk merangka satu pelan tindakan untuk memajukan sektor ini sebagai industri yang dinamik dan berdaya maju. Ini juga merupakan satu peluang bagi usahawan dan pelabur tempatan untuk mencari kekayaan dari sumber bumi hijau kita.

 

4.    Peluang ini akan diterjemahkan sebagai pelan tindakan yang akan dilaksanakan dalam perancangan pembangunan 5 tahun yang dibukukan sebagai Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Perancangan ini akan menggariskan dasar dan halatuju strategik baru dan penyediaan program dan projek-projek khusus bagi menyokong dasar dan halatuju tersebut selaras dengan usaha ke arah memartabatkan sektor pengeluaran makanan pertanian sebagai penjana pertumbuhan ekonomi negara.

 

5.    Perancangan jangka panjang kita telah digariskan di dalam Balance of Trade Plan 2010 dan The Cluster-based Development of Agriculture and Agro-Industries. Masalah defisit dalam imbangan dagangan makanan menyebabkan pengaliran keluar sumber kewangan negara untuk menampung kos mengimport barang-barang makanan. Imbangan dagangan tahun 2004 menunjukkan imbangan defisit yang dicatatkan ialah RM 6.6 bilion. Defisit  tahun 2004 telah meningkatkan 53.4% berbanding dengan defisit tahun 2003 sebanyak RM 4.3 bilion. Statistik awal imbangan dagangan bagi tempoh Januari – April 2005 menunjukkan negara telah mencatatkan defisit sebanyak RM 2.6 bilion. Mengikut unjuran Kementerian ini, imbangan dagangan sektor makanan dijangka akan meningkat kepada RM 10.9 bilion pada tahun 2010 jika tiada campurtangan polisi  (policy intervention) dilaksanakan untuk membendung pola imbangan defisit yang kian meningkat ini.

 

6.    Balance of Trade Plan 2010 (BoT Plan) adalah satu campurtangan polisi (policy intervention) bagi meningkatkan jumlah dan nilai eksport keluaran pertanian untuk mengatasi defisit tersebut. Di bawah BoT Plan ini diunjurkan bahawa negara akan memperolehi imbangan perdagangan makanan yang positif sebanyak RM 1.7 bilion pada tahun 2010. Walaupun sasarannya untuk memperolehi imbangan positif agak ambitious, saya rasa ia menjadi cabaran dan rangsangan yang akan mendorong semua pegawai dan kakitangan Kementerian saya untuk menggemblengkan tenaga dan kepakaran untuk mencetuskan pembaharuan dan ide-ide inovatif bagi mencapai matlamat itu.

 

7.    Sebagai tindakan susulan bagi melengkapkan lagi pelaksanaan BoT Plan ini supaya ia mencapai sasaran yang diunjurkan, Kementerian sedang merangka pelan mikro bagi beberapa pembangunan berasaskan cluster-based seperti betik dan pemprosesan betik, ikan dan  pemprosesan ikan, ikan hiasan dan industri sokongan dan ternakan dan pemprosesan daging ternakan.

 

8.    Saya ingin menegaskan bahawa pelaksanaan BoT Plan ini adalah diterajui oleh sektor swasta (Private-sector driven) dan kejayaan BoT Plan ini bergantung kepada penglibatan agro-usahawan dan pelabur-pelabur tempatan. Pelaburan yang dianggarkan ialah RM 26.03 bilion, iaitu sebahagian besar daripada pelaburan pihak swasta sebanyak RM 20 bilion manakala perbelanjaan Kerajaan adalah berjumlah RM 6.03 bilion. Pelaburan besar ini adalah untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan logistik, melengkapkan pengeluaran dan pemindahan teknologi, pembangunan tenaga mahir dan aktiviti pengembangan dan misi pelaburan dan pemasaran di luar negara bagi meningkatkan laluan pasaran.

 

9.    Justeru itu, perbelanjaan pembangunan yang dirancangkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan akan menumpukan kepada usaha ke arah menjayakan BoT Plan dan pembangunan mikro secara cluster-based bagi pertanian dan agro-industri. Strategi perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan bertujuan untuk :

 

(a)     Mewujudkan iklim perniagaan yang menarik supaya usahawan dan pelabur-pelabur menerajui transformasi pengeluaran makanan pertanian dan  industri asas tani dan menjadinya satu industri yang maju, dinamik dan berdaya saing;

 

(b)      Melahirkan lebih ramai agro-entreprenuer daripada kalangan petani, penternak dan nelayan serta belia-belia;

 

(c)      Meningkatkan kemudahan sistem penyampaian dan khidmat sokongan termasuk tahap kapasiti R&D tempatan;

 

(d)      Meningkatkan laluan pasaran di peringkat antarabangsa bagi menambahkan eksport hasil pertanian negara; dan

 

(e)     Membangunkan bio-teknologi pertanian, industri tangkapan ikan laut dalam dan rumpai laut serta industri bukan makanan seperti bunga-bungaan dan ikan hiasan sebagai sumber pertumbuhan baru.

 

 

Y. B. Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

MENINGKATKAN LALUAN PASARAN

 

10.    Matlamat BoT Plan ialah meningkatkan jumlah dan nilai eksport keluaran pertanian untuk mengatasi defisit  imbangan perdagangan makanan negara. Strategi bagi menjayakan matlamat ini ialah meningkatkan laluan pasaran. Bagi menjayakan usaha meningkatkan laluan pasaran ini, kita perlu mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan antarabangsa dan menambahkan market share penjualan hasil dan produk pertanian negara.

 

11.    Di peringkat pasaran global, isu mengenai keluaran pertanian yang berkualiti dan selamat untuk dimakan kini menjadi satu keperluan penting sebelum kita boleh mengeksport hasil kita. Justeru kita perlu memperkukuhkan kapasiti keupayaan dalam mematuhi piawaian keselamatan makanan dan kualiti antarabangsa supaya pengeluaran makanan pertanian negara dapat  menerokai pasaran negara maju dan negara-negara pengimport lain. Piawaian-piawaian yang ditetapkan oleh  CODEX Alimentarius Commission, Hazard Analysis And Critical Control Point (HACCP) dan Euro Retailer Working Group Good Agriculture Practice (EUROGAP) yang mengenakan syarat-syarat yang ketat perlu diamalkan bagi menjamin kemasukan produk kepada negara pengimport.

 

12.    Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan di peringkat ladang. Program Amalan Pertanian Yang Baik dan Amalan Penternakan Haiwan Yang Baik serta Skim Pensijilan Ladang seperti Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM), Skim Organik  Malaysia (SOM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT), Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM). Di samping itu, kita juga melaksanakan Skim Pensijilan Pemprosesan seperti Skim Veterinary Health Mark (VHM), Quality Assurance Standard (QAS), serta juga Hazard Analysis and Critrical Control Point (HACCP) bagi pemprosesan hiliran dan perkilangan produk-produk pertanian.

 

13.    Kita juga mempunyai strategi penjenamaan (branding) melalui Malaysia’s Best. Penjenamaan Malaysia’s Best merupakan satu kepastian kualiti (quality assurance) kepada pengguna-pengguna tempatan dan luar negara bahawa keluaran yang mempunyai logo Malaysia’s Best ini adalah berkualiti dan selamat. Di peringkat pasaran antarabangsa pula, Malaysia’s Best mengesahkan bahawa keluaran pertanian negara telah memenuhi syarat-syarat bagi kemasukan pasaran yang ditetapkan oleh pengimport dan pengguna.

 

PENUTUP

 

18.    Dengan kata-kata ini, saya berkeyakinan penuh bahawa perjumpaan kita pada kali ini dapat menjana ide-ide dan pembaharuan serta komitmen jitu bagi menjayakan usaha kita untuk memajukan sektor pengeluaran makanan dalam sektor pertanian negara.

 

Terima kasih. Assalamualaikum Warahmatulahiwabarakatuh.

 

 

HomePage