Make your own free website on Tripod.com

                                         

                                    SUASANA EKONOMI SEMASA:
           HALA TUJU SEKTOR PERTANIAN KOMERSIL MALAYSIA



                                    Oleh : Dato' Hj. Mohd. Rosli Abdul Aziz
                                                    Pengurus Besar
                                                Bank Pertanian Malaysia




1. PENDAHULUAN

Seperti yang diketahui, Malaysia dan negara-negara di rantau ini sedang menghadapi krisis mata wang dan kemelesetan ekonomi, dan pada pandangan saya, prospek ekonomi sehingga akhir tahun 1998 dan 1999 masih belum jelas. Topik yang dibentangkan, iaitu "Suasana Ekonomi Semasa - Hala Tuju Sektor Pertanian Komersil Malaysia" adalah topik yang relevan dan menarik untuk dibincangkan. Saya difahamkan peserta seminar adalah terdiri daripada wanita yang begiat dalam perniagaan tani komersil. Saya percaya kegawatan ekonomi telah menjejaskan perniagaan usahawan, dan prospek ekonomi yang cerah adalah pekara yang ditunggu-tunggu oleh usahawan dan juga kita semua.

Kertas ini akan membentangkan empat topik iaitu, pertama perkembangan ekonomi dunia dan rantau ini; kedua, perkembangan ekonomi Malaysia; ketiga, hala tuju sektor pertanian komersil Malaysia; dan keempat peranan usahawan wanita dalam industri berasaskan pertanian.



2. PERKEMBANGAN EKONOMI SEMASA

2.1 Ekonomi Dunia dan Rantau Ini

Ekonomi dunia sepanjang tahun 1998 banyak dipengaruhi oleh kegawatan ekonomi yang melanda negara-negara Asia Timur, termasuklah kemelesetan ekonomi Jepun dan Korea. Faktor ini disebabkan oleh kesan perdagangan dan pelaburan yang saling berkaitan antara negara-negara. Tabung Kewangan Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) meramalkan ekonomi dunia akan merosot kepada 3.5% pada 1998 (semakan pada Disember 1997) berbanding dengan 4.3% yang diramalkan pada Oktober 1997. Badan kewangan tersebut juga meramalkan pertumbuhan perdagangan dunia juga merosot kepada 6.2% pada 1998 berbanding dengan 8.6% yang diramalkan pada 1997.

2.2 Perkembangan Ekonomi Malaysia

Seperti yang diumumkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri kita baru-baru ini, bahawa ekonomi Malaysia diramalkan tumbuh pada kadar yang rendah, iaitu 2.5% pada tahun 1998 berbanding dengan 4%-5% yang diunjurkan sebelum ini. Ekonomi Malaysia masih belum menentu walaupun terdapat ramalan yang ekonomi Malaysia akan pulih lebih awal berbanding dengan negara lain dirantau ini. Faktor kenaikan harga masih mengancam negara berikutan kejatuhan ringgit, dan kadar pengangguran dijangka turut meningkat kerana banyak syarikat yang telah memberhentikan pekerja-pekerja. Pendapatan negara dijangka merosot pada tahun ini berikutan kekurangan hasil cukai kerana banyak syarikat yang gulung tikar atau mengalami kerugian besar perniagaan.

Perkembangan pasaran saham yang merupakan penunjuk pemandu ekonomi yang popular (leading indicator) juga mengecewakan. Dalam akhbar baru-baru ini, dilapurkan permodalan pasaran saham (market capitalisation) negara telah jatuh sebanyak 50% dan indeks BSKL adalah terendah sejak 1992.

Berdasarkan kepada unjuran Institut Penyelidikan ekonomi Malaysia (MIER), jangkaan pertumbuhan ekonomi negara lebih mengecewakan. MIER meramalkan ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 0.9% pada 1998 berbanding dengan anggaran 7.6% pada 1997. Sungguhpun begitu, ekonomi dijangka pulih pada 1999 dengan kadar pertumbuhan 3.7%.

2.3 Sektor Pertanian Malaysia

Seperti sektor ekonomi lain, sektor pertanian negara juga terjejas pertumbuhannya. Bank Negara meramalkan sektor pertanian negara akan mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 1.8% pada 1998 berbanding dengan pertumbuhan positif 3% pada 1997. Pertumbuhan negatif yang dialami oleh sektor pertanian berpunca dari kemerosotan pengeluaran, harga (kecuali sawit) dan eksport komoditi utama iaitu minyak sawit, getah, kayu dan koko.

Gambaran prestasi ekonomi negara dan pertanian yang tidak memberangsangkan adalah fenomina jangka pendek sahaja, iaitu bagi tempoh satu atau dua tahun sahaja. Pada hakikatnya tidak ada siapa yang boleh meramalkan masa depan ekonomi dan pertanian dengan tepat. Malah unjuran ekonomi semasa sesebuah negara, rantau ini dan dunia kerap disemak dari masa ke masa.

Masa depan sektor pertanian tetap cerah. Semua negara di dunia bergantung kepada sektor pertanian kerana peranan utamanya menyediakan makanan, sama ada mengeluarkan sendiri atau mengimport.

Di Malaysia sektor pertanian tetap cerah. Padi, ikan, sayuran ternakan dan buahan adalah makanan asas, dan ia sudah tentu dikeluarkan. Sektor pembuatan dan perkilangan adalah penyumbang terbesar ekonomi negara dan sektor pertanian berperanan membekalkan input pertanian bagi membolehkan kilang dan jentera terus beroperasi.



3. HALA TUJU SEKTOR PERTANIAN KOMERSIL

3.1 Definasi Pertanian Komersil

Apa maksudnya "pertanian komersil" dalam pemahaman yang mudah? Pada saya pertanian komersil aktiviti pertanian yang bermotifkan perniagaan dan mendapatkan keuntungan. Dengan ini, pengerjaan aktiviti pertanian akan didorong oleh kehendak pengguna dan pasaran. Ini bermakna pengguna akan membeli produk yang mereka mahu, pada harga yang menasabah, produk berkualiti dan servis yang baik.

Ke mana tujunya sektor pertanian komersil negara? Pelabur atau usahawan memerlukan maklumat ini bagi membolehkan mereka merancang strategi dan pelan perniagaan mereka. Hala tuju pertanian komersil dapat dikesan daripada Dasar Pertanian Negara dan perkembangan ekonomi semasa umpamanya kejatuhan ringgit. Dengan kejatuhan ringgit menyebabkan harga eksport menjadi murah mengikut kiraan asing; dan kepada kita, import bertambah mahal.

3.2 Dasar Pertanian Negara, 1997-2010

Dasar Pertanian Negara yang baru, atau DPN3 belum dibentangkan kepada umum. Bagaimanapun, saya percaya DPN3 tetap berteraskan kepada DPN1 dan DPN2 tetapi mengambil kira perkembangan ekonomi semasa, umpamanya kesan kejatuhan ringgit terhadap keselamatan bekalan makanan negara; dan kesan liberalisasi perdagangan terhadap daya saing pengeluaran dan perdagangan pertanian.

3.2.1 Pendekatan Dasar Pertanian Negara

Dua pendekatan utama dijangka akan diberi tumpuan dalam DPN iaitu pendekatan perhutanan tani dan pendekatan berasaskan produk.

(i) Pendekatan Perhutanan Tani (Agroforestry Approach)

Pada masa lepas, hutan kerap musnah atau "terkorban" kerana memenuhi kehendak pembangunan pertanian. Oleh kerana tanah dan sumber pertanian yang terhad, perhutanan tidak wajar "terkorban" kerana memenuhi kehendak pertanian. Pendekatan yang praktikal ialah pertanian dan perhutanan harus berjalan seiring dan menjadi pelengkap antara satu sama lain. Ini bermakna aktiviti perhutanan dan pertanian harus diintegrasikan melalui pembangunan usahasama (joint development) bagi memaksimumkan pulangan pelaburan. Pendekatan ini akan menghasilkan:


(a) menggalakkan aktiviti perhutanan tani yang boleh meningkatkan pulangan pelaburan perhutanan tani.

(b) membenarkan pengeluaran produk pertanian dan perhutanan diatas tanah yang sama; ini dapat mengurangkan tekanan permintaan tanah pertanian baru.

menyokong usahasama pertanian perhutanan, umpamanya penanaman spesis perhutanan bersama tanaman industri (sawit, getah, koko) bagi memaksimumkan pulangan pelaburan tanah.

(d) menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam penanaman hutan secara komersil; ini akan menambahkan bekalan kayu bagi pembangunan industri asas kayu.

(ii) Pendekatan Berasaskan Produk (Product-Based Approach)

Pendekatan ini mengambil kira kehendak sesebuah pasaran dan pengguna. Sebelum pengeluaran, produk dan pasaran dikenal pasti terlebih dahulu yang berdasarkan kehendak pasaran, cita rasa dan potensi. Pendekatan ini menghasilkan:

(a) dapat menguatkan pembangunan sesebuah industri pertanian kerana ia berasaskan kepada pengenalpastian peluang pasaran dan cita rasa pengguna.

(b) menggalakkan produk yang berkualiti tinggi dan secara tidak langsung meningkatkan nilai-tambah (value added) sektor pertanian.

menguatkan aktiviti hiliran dan huluan bagi industri perhutanan dan pertanian, dan juga hubungannya dengan sektor ekonomi lain.

(d) meluaskan skop pembangunan pertanian dan perhutanan, dan mengujudkan peluang perniagaan dan pelaburan.

(e) menggalakkan integrasi bagi aktiviti pengasingan (sorting), penggredan, pembungkusan, pemprosesan diperingkat ladang, yang secara tak langsung dapat meninggikan pendapatan ladang.

3.2.2 Teras dan Strategi Dasar Pertanian Negara

Teras, strategi dan pelaksanaan DPN akan fokus kepada usaha menangani isu yang berkaitan dengan pertanian dan ekonomi secara keseluruhannya. Isu-isu adalah seperti berikut:-

(i)     keselamatan makanan (food security) dan inflasi;
(ii)    produktiviti pertanian;
(iii)   penglibatan sektor swasta;
(iv)   eksport pertanian;


(i) KESELAMATAN MAKANAN (Food Security dan Inflation)

Dua isu penting yang berkaitan dengan makanan adalah, pertamanya, aspek keselamatan makanan; dan keduanya, defisit akaun perdagangan bagi makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian.

Import makanan negara umumnya meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Kenaikan permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada 1996, kenaikan harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks Harga Pengguna. Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6 kepada RM3.6 sedolar) telah meningkatkan kos import makanan dan input pertanian.

Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997.

Krisis kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya ditingkatkan aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara lain. Antara strateginya adalah:

(a) Meningkatkan Pengeluaran Makanan Tempatan

Pengeluaran makanan tempatan akan dipertingkatkan melalui tindakan berikut:

*    Menumpukan kepada pengeluaran makanan utama yang mempunyai kelebihan bersaing dari segi kos; umpamanya penghasilan perikanan, buah-buahan terpilih, sayur-sayuran dan ternakan. Tumpuan juga diberikan kepada pengeluaran makanan tertentu yang diimport.

*    Mengujudkan zon bagi pengeluaran makanan.

*    Menyediakan galakan/insentif, pinjaman dan langkah lain (infrastruktur) bagi pengeluaran makanan.

(b) Sumber Bekalan Luar  (Strategic Sourcing)

Mendapatkan sumber makanan utama melalui langkah berikut:

*    Meningkatkan pelaburan keluar negara (reverse investment) dan mengadakan         usahasama dengan negara asing yang kos pengeluaran makanannya rendah; umpamanya pelaburan dalam Kawasan Pertumbuhan Asean dan Lembah Mekong.

*    Kerjasama dua hala antara Kerajaan dengan Kerajaan dalam membekalkan makanan.

Meningkatkan Kecekapan Pemasaran

Pemasaran akan dipertingkatkan dengan cara mengurangkan margin pemasaran dan halangan pasaran. Antara strateginya adalah:

*    Sistem pasaran akan disusun bagi mengurangkan pengantara pasaran (market intermediaries) dan mempastikan pengguna mendapat harga yang adil. Ini dicapai melalui pengujudan saluran pasaran yang menyerupai konsep pasar tani, pemasaran langsung (direct marketing), dan mengamalkan "contract farming".

*    Penubuhan infrastruktur pemasaran, umpamanya pusat pengumpulan hasil pertanian, rumah pembungkusan, pusat perniagaan dan pusat pemborongan. Ia bertujuan menjimatkan masa dan kos perniagaan.


(ii) PRODUKTIVITI PERTANIAN

Pada masa ini produktiviti buruh dalam sektor pertanian masih rendah, iaitu setakat 60% daripada produktiviti buruh disektor perindustrian. Strategi meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian adalah:

(a) Pembangunan Produk Baru dan Industri Masa Depan

Fokus adalah kepada pembangunan produk bioteknologi, penggunaan "oilpalm biomass", pembangunan produk florikultur dan ikan akuarium.

(b) Pengurangan Penggunaan Buruh di Sektor Pertanian

Tenaga buruh dalam sektor pertanian akan dikurangkan daripada 1.4 juta dalam tahun 1995 kepada 0.8 juta pada 2010. Ini dapat dicapai melalui:

*    Pengurangan buruh intensif dalam sektor pertanian, khususnya getah, kelapa, koko dan lada hitam.

*    Menggalakkan tanaman baru yang kurang menggunakan buruh, umpamanya tanaman spesis kayu, buluh dan rotan.

*    Menggalakkan sistem pengeluaran tanaman yang bernilai tinggi yang berunsurkan penjagaan alam sekitar yang baik, umpamanya aeroponik dan hidroponik;

*    Meningkatkan R & D dan usaha pemindahan teknologi terutama teknologi penjimatan buruh, umpamanya dalam bidang penuaian kelapa sawit, buah-buahan, bunga, sayuran dan torehan getah.

Memaksimumkan Penggunaan Tanah

Memaksimumkan penggunaan tanah dicapai melalui:

*    Menggalakkan perniagaan perhutanan tani (agroforestry).

*    Menggabungkan aktiviti penternak dengan penanaman.

(d) Meningkatkan Pendapatan Ladang

Strategi meningkatkan pendapatan ladang akan difokuskan kepada:

*    Pengerjaan ladang berskala besar

*    Memaksimumkan penggunaan sisa pertanian dan produk sampingan seperti pelepah sawit, batang pokok, batang padi dan sebagainya.



(iii) PENGLIBATAN SEKTOR SWASTA

Mekanisma akan diwujudkan bagi menggalakkan penyertaan aktif sektor swasta, antaranya:

(a) Bank Tanah

Data yang komprehensif mengenai tanah yang tersedia akan diwujudkan bagi memudahkan sektor swasta menceburi pengeluaran pertanian.

(b) Menggalakkan Pelaburan Pertanian oleh Sektor Swasta

Ini termasuklah penyediaan garis panduan pelaburan asing dalam pertanian. Senarai aktiviti yang digalakkan akan disemak dari masa kemasa selari dengan fokus pembangunan pertanian semasa. Peraturan dan prosedur yang menghalang pelaburan swasta akan dikaji. Pusat maklumat setempat di Kementeirn Pertanian akan ditubuhkan bagi membantu swasta.


(iv) EKSPORT PERTANIAN

(a) Malaysia Sebagai Pusat Makanan Halal Antarabangsa

Malaysia berpotensi menjadi pusat makanan halal antarabangsa. Oleh itu strategi akan digubal bagi mengenengahkan kelebihan Malaysia. Aspek "halal" termasuklah pemeriksaan, pengesanan, piawaian dan pengeluaran sijil halal. Kerajaan dan swasta akan mempromosikan produk halal diperingkat antarabangsa.

(b) Laluan Pasaran (Market Access)

Perjanjian Dua Hala akan dipertingkatkan bagi membolehkan barangan Malaysia meneroka pasaran antarabangsa. Perjanjian Pembayaran Kredit Minyak Sawait akan digunakan bagi meneroka pasaran baru minyak sawit khusus ke negara membangun yang memerlukan kredit.

Pemasaran Langsung (Direct Marketing)

Pemasaran dan pengeksportan langsung produk Malaysia tanpa melalui negara ketiga.



4. PERANAN USAHAWAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI BERASASKAN PERTANIAN

Sebagai usahawan sama ada wanita dan lelaki, peranan mereka adalah sama dalam semua perniagaan yang diceburi termasuklah industri berasaskan pertanian.

Sebagai pemilik perniagaan, usahawan wanita mempunyai peranan yang sama seperti lelaki. Ini termasuklah aspek merancang, menguruskan perniagaan dan memasarkan produk. Bagi perniagaan yang dimiliki secara bersama dengan suami, biasanya peranan usahawan wanita lebih membantu suaminya. Sungguhpun sebagai isteri, beliau boleh memainkan peranan yang lebih berkesan, umpamanya sebagai penasihat dalam membuat keputusan perniagaan yang penting. Dalam konteks ini, beliau harus memiliki sifat dan kebolehan yang boleh mempengaruhi sesuatu keputusan.

4.2 (a) Industri Anyaman dan Kraftangan

Dari sudut pemilihan perniagaan tanai komsersil, usahawan wanita harus melihat kelebihan dan kebolehan mereka berbanding dengan lelaki. Umpamanya, dalam industri mengkuang dan pandan, wanita mempunyai kebolehan menghasilkan produk anyaman (tikar), dan produk kraftangan. Secara tak langsung peranan usahawan wanita adalah mengekalkan warisan budaya dalam seni anyaman dan penghasilan kraftangan.

(b) Tanaman Hidroponik Komersil

Kebanyakan usahawan wanita adalah ibu dan mempunyai tanggungjawab menjaga anak dirumah. Penanaman sayuran melalui kaedah hidroponik boleh dilakukan secara komersil tanpa menjejaskan sangat fungsi ibu sekiranya mempunyai kawasan tanah yang cukup berdekatan rumah. Secara tak langsung, usahawan wanita berperanan membantu negara dalam meredakan tekanan kenaikan harga sayuran khasnya, dan makanan amnya.

Industri Kuih Tradisional

Kuih tradisional dianggap komponen dalam industri berasaskan pertanian. Umumnya, kuih diusahakan secara sambilan oleh kaum wanita. Usahawan wanita boleh menjadikan industri kuih secara komersil memandangkan MARDI telah menghasilkan teknologi pakej dimana kuih dapat dihasilkan dengan cepat, mudah secara mekanisasi, mempunyai mutu yang tinggi dan berseragam.



5. KEWANGAN

Dalam menggalakkan pertumbuhan sektor pertanian, kerajaan sedang menyediakan beberapa tabung iaitu Tabung Untuk Makanan yang dikenali juga sebagai Kemudahan 3F (Fund for Food) dan Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS). Kemudahan 3F khusus untuk membiayai aktiviti pengeluaran makanan dan makanan diproses; manakala Kemudahan TIKS boleh membiayai industri berasaskan pertanian. Bagi mempastikan objektif penubuhan tabung mencapai matlamatnya kerajaan akan mengkaji dari masa kesemasa syarat-syarat kemudahan tersebut. Contohnya baru-baru ini kerajaan telah menurunkan pinjaman minima Tabung TIKS dari RM250,000 kepada RM50,000 bertujuan supaya lebih ramai usahawan berpeluang mendapat faedah dari kemudahan ini.

Selain dari Tabung yang disediakan oleh kerajaan, Bank Pertanian Malaysia (BPM) iaitu agensi yang dipertanggungjawabkan membiayai sektor pertanian turut menyediakan berbagai kemudahan daripada dananya sendiri. Dalam keadaan kegawatan sekarang, BPM turut merasa bahangnya. Oleh yang demikian sementara waktu ini, dalam keadaan dana yang terhad, BPM akan hanya pada projek-projek yang berdayamaju tinggi sahaja.



6. KESIMPULAN

Dalam suasana kemelesatan ekonomi sekarang ada usahawan melihatnya sebagai peluang. Aktiviti ekonomi dan perniagaan masa ini tidaklah serancak berbanding dengan 2-3 tahun lepas. Oleh itu, masa ini sangat sesuai bagi usahawan mengenal pasti peluang perniagaan dalam sektor pertanian atau dilain sektor, disamping menyediakan strategi dan pelan perniagaan.

Sejarah ekonomi menunjukkan iaitu ekonomi dunia berkembang dan meleset satu fenomena ekonomi yang biasa. Adalah diharapkan dengan insentif dan kemudahan kewangan sektor pertanian akan terus menjadi sektor yang penting dan menjadi penyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.



kembali ke Laman Utama