PEMBIAYAAN INDUSTRI MAKANAN DAN HERBA


                                                                   Oleh:
                                                   Dato' Mohd. Rosli Abdul Aziz
                                                            Pengurus Besar
                                                    Bank Pertanian Malaysia




1. PENDAHULUAN

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang yang menganjurkan Pesidangan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang '99 kerana memberi peluang kepada saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Pembiayaan Industri Makanan dan Herba". Kertas ini bukanlah sebuah kertas yang komprehensif mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Pertanian, oleh itu saya berharap selepas persidangan ini usahawan Bumiputera Pulau Pinang bolehlah mengunjungi mana-mana lima buah cawangan di Pulau Pinang bagi mendapat penjelasan yang lebih mengenai kemudahan dan syarat pinjaman yang disediakan oleh BPM.



2. OBJEKTIF DAN SKOP KERTAS

Kertas ini bertujuan menerangkan peluang-peluang pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Pertanian Malaysia (BPM) dalam industri makanan dan herba. Oleh itu saya akan membentangkan kertas ini mengikut topik-topik berikut:

(a) Industri makanan dan herba di negara ini secara am;

(b) Kemudahan pembiayaan pinjaman yang ditawarkan oleh BPM dalam industri makanan dan herba;

(c) Penyertaan Ekuiti oleh BPM.



3. INDUSTRI MAKANAN DAN HERBA SECARA AM

Makanan adalah nadi sesebuah negara. Pengeluaran makanan dikira perkara strategik bagi semua negara kerana ia melibatkan keselamatan atau "survival" bagi penduduk dan negara. Di Malaysia khasnya, industri pengeluaran makanan, khususnya pengeluaran makanan daripada sektor pertanian menjadi agenda penting negara. Kepentingan pengeluaran makanan telah menjadi objektif dasar dalam Dasar Pertanian Negara 1998-2010, iaitu "meningkatkan keselamatan makanan dan memerangi inflasi". Diantara strategi utama DPN3 ialah meningkatkan pengeluaran makanan utama dengan kos yang kompetitif.

Potensi perniagaan dan pelaburan dalam industri makanan di negara ini masih luas, ini kerana kita masih bergantung kepada dunia luar dalam mendapatkan sumber makanan. Berdasarkan Laporan Tahunan Bank Negara 1998, Malaysia mengimport RM9,847 juta makanan dan minuman, iaitu RM5,681 juta adalah import barangan makanan akhir dan RM4,166 juta adalah import barangan pertengahan untuk kegunaan industri makanan tempatan.

Industri herba yang selalunya dikaitkan dengan kesihatan dikira baru dan mentah di negara ini walaupun penggunaannya telah lama diamalkan. Bank Pertanian sendiri tidak banyak pengalaman dalam membiayai industri ini. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, industri ini telah menarik minat umum iaitu di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Ini disebabkan oleh semakin meningkatnya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan kesihatan melalui langkah pencegahan, iaitu antaranya dengan memakan bahan-bahan asli kesihatan.

Kerajaan sendiri menggalakkan pertumbuhan industri herba. Berdasarkan laporan Dasar Pertanian Negara, saiz pasaran tempatan bagi ubatan herba dianggarkan RM2 bilion setahun, dimana 70% daripadanya adalah ubatan tradisional orang-orang cina dan banyak daripada ubatan herba diimport.

Sungguh pun peluang pembiayaan bagi industri herba terbuka luas tetapi kepada usahawan amnya, dan Bank Pertanian khasnya, masih banyak perkara yang perlu kita pelajari mengenai produk herba. Contohnya, bukti saintifik herba terhadap kesihatan, pengetahuan teknikal produk, penggredan dan kualiti produk, hasil-hasil penyelidikan, kepakaran dan kebolehan tenaga tempatan adalah antara maklumat industri herba yang perlu kumpulkan.


4. PEMBIAYAAN PINJAMAN INDUSTRI MAKANAN DAN HERBA

Terdapat 5 bentuk pembiayaan pinjaman yang boleh ditawarkan oleh BPM samada secara langsung atau tidak langsung dalam industri di atas.

(a) Pinjaman Tabung Makanan (Fund for Food, 3F),

(b) Pinjaman Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS),

(c) Skim Pembiayaan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera ( Skim MBBP),

(d) Skim Mekanisasi dan Automasi Pertanian (Skim MAP), dan

(e) Pinjaman komersil BPM.

4.1 Pinjaman Tabung Makanan (Pinjaman 3F)

Tabung Makanan (Fund for Food) yang lebih dikenali dengan 3F telah diperkenalkan pada tahun 1993, dan jumlah peruntukan adalah RM700 juta. Sumber dana ini adalah daripada Bank Negara. 

Pada bulan Mei 1999, BPM telah menerima RM300 juta lagi daripada Kerajaan dan menjadikan jumlah dana 3F adalah RM1 bilion. Bagaimanapun, dana RM300 juta ini adalah untuk Pertubuhan Peladang Kawasan, Pertubuhan Peladang Negeri, NAFAS, Persatuan Nelayan Kawasan, NEKMAT, Syarikat Kerjasama Nelayan, Syarikat Kerjasama Asas Tani serta kumpulan individu yang mengendalikan projek agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian.

Objektif Tabung 3F adalah untuk membantu Kerajaan dalam usahanya meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pengeluaran makanan dengan kos pinjaman yang berpatutan. Herba bukanlah makanan utama negara, ini bermakna dana ini tidak menawarkan kemudahan pinjaman bagi usahawan mengusahakan projek ini. 

Peruntukan dana 3F boleh diperolehi daripada semua bank perdagangan syarikat kewangan, Bank Pertanian, Bank Industri dan Bank Pembangunan. Di antara syarat pinjaman 3F adalah seperti berikut:

4.1.1 Tujuan Pinjaman

Tujuan pinjaman adalah membiayai aktiviti berikut:

(i) Pengeluaran makanan (makanan laut, ternakair, ternakan ladang, sayuran dan buahan);

(ii) Pengeluaran hasil pertanian yang merangkumi makanan diproses;

(iii) Pengedaran makanan,

4.1.2 Bentuk Pinjaman

Pembiayaan modal kerja dan pinjaman berjangka, atau kombinasi kedua-duanya.


4.1.3 Kelayakan

(a) Warganegara yang menetap di Malaysia, atau syarikat Malaysia dengan pegangan tidak kurang daripada 51%.

(b) Kos projek termasuk tanah dan modal kerja (contoh: benih, baja dan racun), bagaimanapun, kos tanah yang boleh dibiayai tidak harus melebihi 20% daripada kos projek.

(c) Pinjaman adalah bagi projek yang bersaiz kecil dan sederhana.

(d) Bagi projek yang berorientasikan eksport, 50% daripada jumlah pengeluaran adalah untuk pasaran tempatan.

4.1.4 Had Pinjaman

90% daripada kos projek. Pinjaman minimum adalah RM10,000 dan maksimum RM 3 juta.

4.1.5 Kadar Faedah

Kadar faedah adalah 4% setahun.

4.1.6 Tempoh Pinjaman

Tempoh pinjaman adalah 8 tahun.

4.1.7 Cagaran

Bercagar penuh.

4.1.8 Projek Yang layak dibiayai

Sektor yang layak dibiayai adalah ternakan, tanaman dan perikanan.
Perinciannya adalah seperti berikut:

Ternakan
Lembu, kambing, kerbau, ayam telur, ayam daging, itik, puyuh, burung
unta, biri-biri, rusa dan arnab.

Tanaman (Padi, Sayuran, buahan dan tanaman perasa)

Sayuran, pisang, jambu, tembikai, betik, mangga, tebu, kopi, koko dan
belimbing, padi dan the. Ia juga merangkumi tanaman makanan ternakan
seperti jagung, ubikayu dan keledek. Tanaman perasa adalah seperti serai
wangi, daun kesum, pandan dan lain-lain.

Perikanan

Penangkapan ikan pesisiran pantai, ternakan ikan dalam sangkar,
ternakan ikan air tawar/payau, ternakan udang harimau/galah, ketam,
tiram dan kerang.

4.1.9 Perkara Tidak Layak Dibiayai

(a) Usahawan yang telah pun mendapat kemudahan maksimum sebanyak RM3 juta daripada dana ini.

(b) Komponen kos buruh.

(c) Pembelian saham syarikat, mengambilalih perniagaan atau harta yang sedia ada.

(d) Pengubahsuaian projek sedia ada tanpa menambahkan kapasiti pengeluaran.

(e) Pembiayaan semula pinjaman sedia ada.

4.2 Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana

Dana bagi pinjaman ini telah dilancarkan pada Januari 1998. Objektif dana ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam sektor pembuatan, industri berasaskan pertanian dan industri khidmat sokongan. Sumber dana adalah daripada Bank Negara dan sehingga kini peruntukan dana yang disediakan adalah RM1.5 bilion. Seperti pinjaman 3F, ia ditawarkan oleh kebanyakan bank tempatan, Bank Pertanian, Bank Industri, Bank Pembangunan dan MIDF. Bagi BPM, kemudahan pinjaman ini adalah untuk membiayai projek yang berasaskan pertanian sahaja.

4.2.1 Tujuan Pinjaman

Pinjaman ini bertujuan bagi menggalakkan industri kecil dan sederhana dalam bidang industri pembuatan, industri berasaskan pertanian dan industri perkhidmatan tertentu. Secara tak langsung kemudahan ini dijangkakan dapat membantu negara dalam menggalakkan pertumbuhan eksport dan penggantian import.

4.2.2 Bentuk Pinjaman

Pembiayaan modal kerja dan pinjaman berjangka, atau kombinasi kedua
duanya.

4.2.3 Kelayakan

(a) Warganegara yang menetap di malaysia, syarikat Malaysia dengan pegangan tidak kurang daripada 51%, koperasi, persatuan dan perniagaan yang berdaftar.

(b) Dana pemegang saham syarikat tidak melebihi RM10 juta.

(c) Projek menguntungkan dalam sektor berikut:

Pembuatan

Projek yang meningkatkan kapasiti pengeluaran. Keutamaan adalah
industri berasaskan eksport dan industri yang boleh mengeluarkan bahan
atau komponen untuk kegunaan industri lain.

I
ndustri Berasaskan Pertanian

Pembelian traktor, alat pertanian, pembangunan ladang, pemprosesan
makanan, pembangunan industri tenusu, pengetinan dan pembungkusan
produk yang berasaskan pertanian.

Perkhidmatan

Dana untuk usahawan yang memberikan kepakaran dalam merekacipta, pembungkusan, pemasaran, pengiklanan, penyelidikan dan pembangunan terutama bagi barangan keluaran tempatan.

4.2.4 Had Pinjaman

75% daripada kos projek dengan pinjaman minimum RM50,000 dan
maksimum adalah RM5 juta.

4.2.5 Kadar Faedah

Kadar faedah adalah 6.5% setahun.

4.2.6 Tempoh Pinjaman

Matang pada 31/12/2005

4.2.7 Cagaran

Bercagar penuh

4.2.8 Tidak Layak Dibiayai

(a) Pembiayaan semula pinjaman yang sedia ada

(b) Pembelian saham dan harta sedia ada

(c) Pengambilan perniagaan sedia ada

(d) Pemulihan projek/syarikat

(e) Kemudahan overdraf

4.3 Skim Pembiayaan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (Skim MPPB)

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) (1996-2000), Program MPPB Kementerian Pertanian telah diujudkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan tani. Kemudahan pinjaman adalah satu daripada komponen Program MPPB Kementerian Pertanian. Sehingga kini peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan adalah RM15 juta (peruntukan asal RM100 juta).

4.3.1 Tujuan Pinjaman

Pinjaman ini disediakan bagi menggalakkan pembentukan usahawan bumiputera dalam sektor pertanian, terutamanya pengeluaran makanan, pemprosesan dan pemasaran produk pertanian kecuali getah, kelapa sawit, tembakau, koko, lada hitam, perhutanan, minuman dan minyak sayuran.

4.3.2 Kelayakan

Syarikat sendirian berhad dengan modal berbayar melebihi RM100,000; bagi institusi peladang dan nelayan hendaklah mempunyai ekuiti melebihi RM100,000. Keutamaan adalah kepada usahawan yang sedang memajukan perniagaag mereka. Setiap permohonan pinjaman hendaklah melalui serta mendapat sokongan daripada jabatan atau agensi di bawah Kementerian Pertanian.

Pinjaman boleh membiayai kos projek yang termasuk tanah, kos pembangunan dan modal kerja (contoh: benih, baja dan racun). Bagaimanapun, kos tanah yang boleh dibiayai tidak harus melebihi 25% daripada kos projek.

4.3.3 Had Pinjaman

Tidak melebihi 90% daripada kos projek dengan pinjaman minimum
adalah RM10,000 dan maksimum RM3 juta. 

4.3.4 Kadar Faedah

4% setahun

4.3.5 Tempoh Pinjaman

Tidak melebihi 10 tahun

4.3.6 Projek Yang Layak Dibiayai

Sektor pertanian komersil yang merangkumi bidang berikut:

Tanaman

Florikuktur (bunga keratan, orkid), tanaman herba dan rempah-ratus, tanaman landskap, sayuran,buah-buahan, pengeluaran bahan tanaman dan benih.

Ternakan

Spesis unggas (puyuh), ayam, itik, lembu pedaging secara integrasi dan fidlot, lembu tenusu, kambing dan biri-biri.

Perikanan

Laut dalam dan akuakultur

Industri Pembuatan dan Pemprosesan

Pemprosesan makanan atau berasaskan pertanian, pemprosesan makanan ternakan, ubat-ubatan (ternakan, perikanan, pertanian)

4.3.7 Perkara Yang Tidak Layak Dibiayai

Pembiayaan semula pinjaman; upah, gaji dan elaun.

4.4 Skim Pembiayaan Mekanisasi dan Automasi Pertanian (Skim MAP) 

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, Skim Pembiayaan Mekanisasi dan Automasi Pertanian telah disediakan bagi menyediakan kemudahan pinjaman bagi pembelian jentera, mesin dan alat automasi yang bakal digunakan bagi meningkatkan produkviti sektor pertanian dan pendapatan usahawan. 

Kemudahan pembiayaan ini juga dapat diharapkan dapat membantu negara dalam usaha memodenkan sektor pertanian komersil serta sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan buruh yang dihadapi oleh sektor pertanian. Peruntukan RM-7 untuk Skim MAP adalah RM5 juta (peruntukan asal RM70 juta).

4.4.1 Tujuan Pinjaman

Pembiayaan pembelian jentera, mesin dan alat automasi pertanian untuk
pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran di dalam sektor pertanian.

4.4.2 Bentuk Pinjaman

Pinjaman berjangka untuk pembelia jentera, mesin adan alat-alat
automasi pertanian.

4.4.3 Kelayakan Pemohon

Kumpulan Sasar

(a) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

(b) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Persatuan nelayan Kebangsaan (NEKMAT)

(c) Ahli PPK dan PNK

Bukan Kumpulan Sasar

Mereka adalah yang selain daripada Kumpulan Sasar di atas. Bagaimanapun, perutukan pinjaman kepada bukan kumpulan dihadkan kepada 30% daripada peruntukan RM-7.

4.4.4 Had Pinjaman

Individu dan Perkongsian
Pinjaman minimum RM2,000 dan maksimum RM300,000

PPK, PPN, NAFAS, PNK, PNN dan NEKMAT, syarikat
Pinjaman minimum RM5,000 dan maksimum RM2 juta.

4.4.5 Had Pembiayaan

70%-90% daripada kos projek

4.4.6 Kadar Faedah

4% setahun

4.4.7 Tempoh Pinjaman

Jentera baru: 7 tahun
Jentera terpakai: 5 tahun

4.4.8 Projek Layak Dibiayai

(i) Pembelian jentera, mesin dan alat automasi.
(ii) Pengeluaran jentera, mesin dan alat automasi dan alat ganti

4.4.9 Perkara Yang Tidak Layak Dibiayai

(i) Kos buruh, upah, gaji dan elaun
(ii) Pembiayaan semula pinjaman

4.5 Pinjaman Komersil BPM

Disamping kemudahan pinjaman yang disebutkan diatas, BPM juga menyediakan pinjaman komersilnya sendiri. Pembiayaan kemudahan ini dibiayai oleh sumber dana yang digembelingkan oleh BPM sendiri khususnya daripada simpanan dan deposit awam. Dengan ini kadar faedah bagi pinjaman komersil pada dasarnya akan ditentukan oleh kos dana pasaran dari masa ke semasa. 

Projek-projek yang dibiayai dari kemudahan pinjaman yang dihuraikan sebelum ini boleh juga dibiayai oleh pinjaman BPM. Pinjaman komersil boleh membiayai semua jenis projek asalkan ia berkaitan dengan aktiviti pertanian iaitu penanaman, perikanan dan penternakan. Definasi pembiayaan sektor pertanian adalah merangkumi aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran keluaran pertanian.

4.5.1 Tujuan Pinjaman

Pinjaman adalah bagi membiayai projek pertanian dalam bidang pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran hasil-hasil pertanian.

4.5.2 Jumlah Pinjaman

Pinjaman sehingga 70% daripada kos projek

4.5.3 Faedah Pinjaman

Kadar faedah pinjaman adalah antara 0-4% di atas Kadar Asas Berian Pinjaman (KABP). KABP BPM pada masa ini adalah 7.95%.

4.5.4 Jenis Kemudahan

Pinjaman berjangka, pinjaman pusingan, pembiayaan dagangan dan
perbankan Islam.

4.5.5 Tempoh Pinjaman

Maksimum 10 tahun

4.5.6 Skop Pembiayaan

Aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran keluaran pertanian.

4.5.7 Cagaran

Pinjaman adalah bercagar penuh. 

4.5.8 Produk Pembiayaan

Di antaranya ialah pinjaman projek, kemudahan francais, pendahuluan simpanan tetap, pinjaman kontrek, kontrek tani, cagartani, pinjaman jentera, pinjaman landskap, pemfaktoran, surat jaminan bank, niagatani dan kemudahan Al-Bai'Bithaman Ajil.

4.5.9 Kelayakan

Individu, koperasi, persatuan, dan syarikat perniagaan yang berdaftar. Mereka mestilah rakyat Malaysia atau syarikat Malaysia (pegangan melebihi 51%).


5. PEMBIAYAAN EKUITI

Penglibatan BPM tidak sahaja terhad kepada pembiayaan pinjaman tetapi ia boleh menawarkan ekuitinya ke dalam syarikat yang terlibat. Berdasarkan kes demi kes, BPM akan menimbangkan melaburkan ekuitinya jika pemilik syarikat tidak dapat mengeluarkan cagaran bagi mendapatkan pinjaman BPM atau syarikat tersebut gagal mendapatkan sumber kewangan lain. 

Peranan BPM di sini adalah bersifat sementara sahaja kerana apabila syarikat boleh berdikari dari segi kewangan, BPM akan melepaskan pegangan ekuitinya kepada pemilik syarikat atau kepada usahawan lain yang berminat membeli ekuti BPM itu. Peranan ini adalah bagi membantu Bumiputera yang benar-benar memerlukan sumber kewangan tetapi tidak berupaya mengeluarkan cagaran.


6. KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan kemudahan kredit boleh membantu usahawan dalam memajukan industri makanan dan herba. Sebenarnya, kredit bukanlah faktor penentu kejayaan projek. Berdasarkan pengalaman kami di BPM, antara faktor-faktor penentu kejayaan projek adalah sikap tabah dan kesungguhan usahawan, pengalaman dan pengetahuan teknikal projek, perancangan projek yang teliti, kebolehan dalam soal menguruskan kewangan dan kakitangan syarikat, keupayaan mencari dan menembus ruang pasaran, sentiasa berusaha meningkatkan mutu produk dan kualiti perkhidmatan pelanggan.

Dengan adanya kemudahan kredit dengan kos pinjaman yang kompetitif daripada Bank Pertanian serta dipadukan dengan faktor penyumbang kejayaan yang disebutkan di atas, kita percaya ia dapat membantu usahawan dalam memajukan perniagaan yang berkaitan dengan pengeluaran makanan dan hasil pertanian. Langkah ini dijangka dapat membantu negara dalam meningkatkan pengeluaran makanan.

Langkah meningkatkan pengeluaran makanan negara adalah bibit-bibit awal dalam usaha kita untuk merealisasikan visi baru YAB Perdana Menteri kita, iaitu pada satu hari nanti Malaysia akan menjadi pengeluar makanan utama dunia, InsyaAllah.


Bank Pertanian Malaysia
Kuala Lumpur
22 Oktober 1999.

kembali ke Laman Utama