PERANAN BANK PERTANIAN DALAM 
MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA


Oleh: Dato'Mohd Rosli Abd Aziz

Pengurus Besar 

Bank Pertanian Malaysia



1. PENDAHULUAN

Saya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang menganjurkan Seminar Koperasi Pertanian di Malaysia kerana memberi peluang kepada saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Peranan Bank Pertanian Dalam memajukan Sektor Pertanian Negara".


2. LATAR BELAKANG PENUBUHAN

Bank Pertanian Malaysia (BPM) adalah sebuah badan berkanun Kerajaan yang ditubuhkan pada 1969 di bawah Akta Parlimen 1969. Sejarah penubuhan BPM adalah ekoran daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang mengesyorkan agar Kerajaan menubuhkan sebuah institusi kewangan yang khusus memberi kemudahan pinjaman untuk sektor pertanian. Syor ini dibangkitkan kerana pada masa tersebut, khususnya pada tahun-tahun 60-an ramai petani dan nelayan yang kebanyakannya orang Melayu tertekan oleh orang tengah yang menyediakan modal pertanian. Bank perdagangan pula enggan membiayai aktiviti pertanian dari kalangan petani dan nelayan kerana aktiviti pertanian mereka kecil dan tidak ekonomik. Kegagalan menyediakan cagaran oleh petani miskin menutup sama sekali peluang mereka mendapatkan pinjaman dari bank perdagangan.

Idea menubuhkan sebuah "bank pertanian" menjadi realiti pada tahun 60-an apabila Kerajaan memutuskan bagi memajukan projek tanaman padi di Pengairan MUDA. Kos pembinaan infrastruktur Pengairan Muda dibiayai oleh pinjaman Bank Dunia dan di dalam perjanjian pinjaman, Bank Dunia mensyaratkan supaya Kerajaan Malaysia menubuhkan sebuah badan bagi mengendalikan kredit pusingan pengeluaran padi di kalangan penanam padi.


3. OBJEKTIF BPM

Mengikut Akta BPM 1969, Objektif-objektif penubuhan BPM adalah seperti berikut: 

(i)  Menggalakkan kemajuan pertanian yang sempurna di dalam Malaysia atau di mana-mana bahagiannya;

(ii)  Menyelaras dan menyelia bantuan kredit dari kumpulan wang awam untuk maksud pertanian kepada orang perseorangan, kumpulan orang samada diperbadankan atau tidak;

(iii)  Mengadakan kemudahan pinjaman, pendahuluan dan kredit untuk kemajuan pertanian termasuk penghasilan dan pemasaran;

(iv)  Menyelenggara wang simpanan khususnya dalam bidang pertanian, dan bagi mencapai tujuan ini, ia menerima wang simpanan dan deposit masa.


4. PERANAN BPM

4.1 Pembiaya Utama Sektor Pertanian

Berdasarkan kepada objektif-objektif penubuhan BPM diatas adalah jelas dua peranan asas BPM ialah, pertamanya menyediakan kemudahan kredit bagi memajukan sektor pertanian; dan keduanya ialah mengembeling wang simpanan daripada sektor yang sama.

Setelah beroperasi selama 30 tahun, BPM boleh dianggap sebagai pembiaya utama sector pertanian. Berdasarkan baki pembiayaan sektor pertanian pada 1998 oleh sistem perbankan, agensi pembangunan pertanian dan institusi kredit luarbandar, sumbangan pembiayaan BPM adalah sebanyak 15%, iaitu kedua terbesar selepas Felda iaitu 22.7%. Sumbangan BPM ini sungguh bermakna kerana lebih 60% penerima pinjaman adalah pengusaha kecil dan sederhana yang mengerjakan aktibiti pertanian yang umumnya tidak berpeluang memperolehi kemudahan pinjaman daripada institusi perbankan komersil.

4.2 Agen Pengembelingan Simpanan

Banyak tempat di pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masih kurang kemudahan menyimpan yang disediakan oleh sistem perbankan komersil. Ini disebabkan oleh faktor-faktor kekurangan kemudahan perhubungan, bekalan eletrik, air dan premis perniagaan. 

Bagi menyediakan kemudahan menyimpan di kawasan luar bandar dan di bandar, BPM telah menyediakan 227 premis bank hampir di semua daerah di Malaysia. Kawasan luar bandar dan pedalaman di mana BPM tidak mempunyai cawangan, BPM sedang mengendalikan 3,174 unit bergerak yang dikenali sebagai "aktibiti menyudut". Aktiviti menyudut biasanya dibuat selama satu atau dua jam di balai raya, sekolah, tadika, pasar, jeti-jeti dan rumah-rumah panjang (di Sarawak) di mana penduduk setempat boleh menyimpan dengan wakil bank yang hadir. 

BPM bukan sahaja telah menyempurnakan peranan asasnya iaitu menyediakan kredit dan mengembeling deposit dalam sektor pertanian tetapi ia juga telah memainkan peranan penting lain yang berkaitan dengan pembangunan pertanian. Antaranya peranan lain BPM ialah usaha menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di kalangan orang Melayu; pembiaya utama Skim Pinjaman Pengeluaran Makanan (Pinjaman 3F); latihan pelanggan dan sebagai agen perbankan komersil pertanian luarbandar.

4.3 Penghapusan Kemiskinan dan Penyusunan Semula Masyarakat

Apabila Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970, BPM turut berperanan dalam usaha menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat khususnya di kalangan orang-orang Melayu. Kelompok orang Melayu ini kebanyakannya adalah penanam padi, penanam tembakau dan nelayan. 

BPM telah mengujudkan Skim Kredit Pengeluaran Padi, Skim Kredit Tembakau, Skim Pinjaman Tanaman, Skim Kredit Jentera dan Skim Perikanan bagi membantu golongan di atas mendapatkan sumber kredit dengan kos yang berpatutan. Bagi projek yang bermatlamat menghapuskan kemiskinan kadar faedah pinjaman kepada kumpulan sasar ini adalah 0%, manakala projek yang bermatlamat menyusun semula masyarakat kadar faedah yang dikenakan adalah 2%. 

Sumber pembiayaan BPM datangnya daripada Kerajaan melalui peruntukan pembangunan lima tahunnya dan peruntukan PPRT (Projek Pembangunan Rakyat Termiskin).

4.4 Pembiaya Pengeluaran Makanan

Isu kenaikan harga barangan makanan utama umpamanya ayam, ikan dan sayur-sayuran kerap kali dibincangkan. Kenaikan harga makanan ini adalah berpunca daripada kekurangan aktiviti pengeluaran makanan negara serta disebabkan oleh kenaikan kos makanan yang diimport. Kerajaan mengenalpasti iaitu bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor ini kos pengeluaran makanan wajar direndahkan. Pada tahun 1993 Kerajaan melalui Bank Negara telah melancarkan Tabung Untuk Makanan (Fund for Food) yang lebih dikenali dengan Tabung 3F. 

Tabung ini menyediakan dana pinjaman kepada pengeluar makanan tempatan dengan kadar faedah pinjaman 4%. Sejumlah RM 700 juta telah diperuntukkan oleh Bank Negara di bawah Tabung ini dan kemudahan pinjaman ini boleh diperolehi daripada Bank Pertanian, bank perdagangan, syarikat kewangan, Bank Industri dan Bank Pembangunan. 

Pada bulan Mei 1999, BPM telah menerima RM300 juta lagi daripada Kerajaan dan menjadikan jumlah Tabung 3F adalah Satu bilion ringgit. Bagaimanapun, dana RM300 juta ini adalah untuk Pertubuhan Peladang Kawasan, Pertubuhan Peladang Negeri, NAFAS, Persatuan Nelayan Kawasan, NEKMAT, Syarikat Kerjasama Nelayan, Syarikat Kerjasama Asas Tani serta kumpulan individu yang mengendalikan projek agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian.

Bank Pertanian telah memainkan peranan yang berkesan dalam menjayakan aktiviti pengeluaran makanan melalui Tabung ini. Sehingga November 1999, BPM telah meluluskan 1,710 pinjaman yang bernilai RM334.7 juta berbanding dengan 2,344 pinjaman yang bernilai RM633 juta telah diluluskan daripada keseluruhan Tabung ini. Ini bererti bahagian sumbangan BPM dari segi bilangan dan nilai kelulusan adalah masing-masing 73% dan 53%. 

4.5 Latihan Pelanggan

Selain kesediaan kemudahan kredit pertanian, kejayaan projek bergantung juga kepada kebolehan pengusaha pertanian menguasai ilmu pengurusan kewangan seperti penyediaan akaun untung rugi, kunci kira-kira dan pengurusan aliran wang tunai. Dalam konteks ini sebuah Pusat Latihan telah dibina oleh BPM bagi mengendalikan kursus dan latihan di atas untuk pelanggan-pelangannya di samping kakitangan BPM sendiri.

4.6 Agen Perbankan Komersil Pertanian Luar Bandar

Dalam menjalankan kegiatan ekonomi harian, masyarakat petani tidak terlepas daripada pengaruh sistem perbankan komersil umpamanya kaedah pemindahan dan penghantaran wang secara eletronik; penggunaan mesin wang ATM; kemudahan simpanan tetap, dan kemudahan pinjaman perbankan komersil (contohnya: pemfaktoran, surat jaminan, dan kredit pusingan). Kemudahan di atas yang ditawarkan oleh sistem perbankan komersil kini boleh diperolehi daripada kebanyakan rangkaian cawangan BPM.


5. PROGRAM PEMBIAYAAN PINJAMAN BPM

Terdapat 5 program pembiayaan pinjaman yang boleh ditawarkan oleh BPM.

(a) Pinjaman Tabung Makanan (Fund for Food, 3F),
(b) Pinjaman Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS),
(c) Skim Pembiayaan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera ( Skim MBBP),
(d) Skim Mekanisasi dan Automasi Pertanian (Skim MAP), dan
(e) Pinjaman komersil BPM.

5.1 Skim Pinjaman 3F

5.1.1 Tujuan Pinjaman
Tujuan pinjaman adalah membiayai aktiviti berikut:

(i) Pengeluaran makanan (makanan laut, ternakair, ternakan ladang, sayuran dan buahan);

(ii) Pengeluaran hasil pertanian yang merangkumi makanan diproses;

(iii) Pengedaran makanan,

5.1.2 Bentuk Pinjaman
Pembiayaan modal kerja dan pinjaman berjangka, atau kombinasi kedua-duanya.

5.1.3 Kelayakan

(a) Warganegara yang menetap di Malaysia, atau syarikat Malaysia dengan pegangan tidak kurang daripada 51%.

(b) Kos projek termasuk tanah dan modal kerja (contoh: benih, baja dan racun), bagaimanapun, kos tanah yang boleh dibiayai tidak harus melebihi 20% daripada kos projek.

(c) Pinjaman adalah bagi projek yang bersaiz kecil dan sederhana.

(d) Bagi projek yang berorientasikan eksport, 50% daripada jumlah pengeluaran adalah untuk pasaran tempatan.

5.1.4 Had Pinjaman

90% daripada kos projek. Pinjaman minimum adalah RM10,000 dan maksimum RM 3 juta.

5.1.5 Kadar Faedah

Kadar faedah adalah 4% setahun.

5.1.6 Tempoh Pinjaman
Tempoh pinjaman adalah 8 tahun.

5.1.7 Cagaran
Bercagar penuh.

5.1.8 Projek Yang layak dibiayai
Sektor yang layak dibiayai adalah ternakan, tanaman dan perikanan. Perinciannya adalah seperti berikut:

Ternakan
Lembu, kambing, kerbau, ayam telur, ayam daging, itik, puyuh, burung unta, biri-biri, rusa dan arnab.

Tanaman (Padi, Sayuran, buahan dan tanaman perasa)
Sayuran, pisang, jambu, tembikai, betik, mangga, tebu, kopi, koko dan belimbing, padi dan teh. Ia juga merangkumi tanaman makanan ternakan seperti jagung, ubikayu dan keledek. Tanaman perasa adalah seperti serai wangi, daun kesum, pandan dan lain-lain.

Perikanan
Penangkapan ikan pesisiran pantai, ternakan ikan dalam sangkar, ternakan ikan air tawar/payau, ternakan udang harimau/galah, ketam, tiram dan kerang.

5.1.9 Perkara Tidak Layak Dibiayai

(a) Usahawan yang telah pun mendapat kemudahan maksimum sebanyak RM3 juta daripada dana ini.

(b) Komponen kos buruh.

(c) Pembelian saham syarikat, mengambilalih perniagaan atau harta yang sedia ada.

(d) Pengubahsuaian projek sedia ada tanpa menambahkan kapasiti pengeluaran.

(e) Pembiayaan semula pinjaman sedia ada.

5.2 Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana

Dana bagi pinjaman ini telah dilancarkan pada Januari 1998. Objektif dana ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam sektor pembuatan, industri berasaskan pertanian dan industri khidmat sokongan. Sumber dana adalah daripada Bank Negara dan sehingga kini peruntukan dana yang disediakan adalah RM1.5 bilion. Seperti pinjaman 3F, ia ditawarkan oleh kebanyakan bank tempatan, Bank Pertanian, Bank Industri, Bank Pembangunan dan MIDF. Bagi BPM, kemudahan pinjaman ini adalah untuk membiayai projek yang berasaskan pertanian sahaja.

5.2.1 Tujuan Pinjaman
Pinjaman ini bertujuan bagi menggalakkan industri kecil dan sederhana dalam bidang industri pembuatan, industri berasaskan pertanian dan industri perkhidmatan tertentu. Secara tak langsung kemudahan ini dijangkakan dapat membantu negara dalam menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan eksport dan penggantian import.

5.2.2 Bentuk Pinjaman
Pembiayaan modal kerja dan pinjaman berjangka, atau kombinasi kedua-duanya.

5.2.3 Kelayakan
(a) Warganegara yang menetap di malaysia, syarikat Malaysia dengan pegangan tidak kurang daripada 51%, koperasi, persatuan dan perniagaan yang berdaftar.

(b) Dana pemegang saham syarikat tidak melebihi RM10 juta.

(c) Projek menguntungkan dalam sektor-sektor berikut:

Pembuatan
Projek yang meningkatkan kapasiti pengeluaran. Keutamaan adalah industri berasaskan eksport dan industri yang boleh mengeluarkan bahan atau komponen untuk kegunaan industri lain.

Industri Berasaskan Pertanian
Pembelian traktor, alat pertanian, pembangunan ladang, pemprosesan makanan, pembangunan industri tenusu, pengetinan dan pembungkusan produk yang berasaskan pertanian.

Perkhidmatan
Dana untuk usahawan yang memberikan kepakaran dalam merekacipta, pembungkusan, pemasaran, pengiklanan, penyelidikan dan pembangunan terutama bagi barangan keluaran tempatan.

5.2.4 Had Pinjaman
75% daripada kos projek dengan pinjaman minimum RM50,000 dan maksimum adalah RM5 juta.

5.2.5 Kadar Faedah
Kadar faedah adalah 6.5% setahun.

5.2.6 Tempoh Pinjaman
Matang pada 31/12/2005

5.2.7 Cagaran
Bercagar penuh

5.2.8 Tidak Layak Dibiayai
(a) Pembiayaan semula pinjaman yang sedia ada

(b) Pembelian saham dan harta sedia ada

(c) Pengambilan perniagaan sedia ada

(d) Pemulihan projek/syarikat

(e) Kemudahan overdraf

5.3 Skim Pembiayaan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (Skim MPPB)

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) (1996-2000), Program MPPB Kementerian Pertanian telah diujudkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan tani. Kemudahan pinjaman adalah satu daripada komponen Program MPPB Kementerian Pertanian. Sehingga kini peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan adalah RM15 juta.

5.3.1 Tujuan Pinjaman
Pinjaman ini disediakan bagi menggalakkan pembentukan usahawan bumiputera dalam sektor pertanian, terutamanya pengeluaran makanan, pemprosesan dan pemasaran produk pertanian kecuali getah, kelapa sawit, tembakau, koko, lada hitam, perhutanan, minuman dan minyak sayuran.

5.3.2 Kelayakan
Syarikat sendirian berhad dengan modal berbayar melebihi RM100,000; bagi institusi peladang dan nelayan hendaklah mempunyai ekuiti melebihi RM100,000. Keutamaan adalah kepada usahawan yang sedang memajukan perniagaan mereka. 

Setiap permohonan pinjaman hendaklah melalui serta mendapat sokongan daripada jabatan atau agensi di bawah Kementerian Pertanian.

Pinjaman boleh membiayai kos projek yang termasuk tanah, kos pembangunan dan modal kerja (contoh: benih, baja dan racun). Bagaimanapun, kos tanah yang boleh dibiayai tidak harus melebihi 25% daripada kos projek.

5.3.3 Had Pinjaman
Tidak melebihi 90% daripada kos projek dengan pinjaman minimum adalah RM10,000 dan maksimum RM3 juta. 

5.3.4 Kadar Faedah
4% setahun

5.3.5 Tempoh Pinjaman
Tidak melebihi 10 tahun

5.3.6 Projek Yang Layak Dibiayai
Sektor pertanian komersil yang merangkumi bidang berikut:

Tanaman
Florikuktur (bunga keratan, orkid), tanaman herba dan rempah-ratus, tanaman landskap, sayuran,buah-buahan, pengeluaran bahan tanaman dan benih.

Ternakan
Spesis unggas (puyuh), ayam, itik, lembu pedaging secara integrasi dan fidlot, lembu tenusu, kambing dan biri-biri.

Perikanan
Laut dalam dan akuakultur

Industri Pembuatan dan Pemprosesan
Pemprosesan makanan atau berasaskan pertanian, pemprosesan makanan ternakan, ubat-ubatan (ternakan, perikanan, pertanian)

5.3.7 Perkara Yang Tidak Layak Dibiayai
Pembiayaan semula pinjaman; upah, gaji dan elaun.

5.4 Skim Pembiayaan Mekanisasi dan Automasi Pertanian (Skim MAP) 

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, Skim Pembiayaan Mekanisasi dan Automasi Pertanian telah disediakan bagi menyediakan kemudahan pinjaman bagi pembelian jentera, mesin dan alat automasi yang bakal digunakan bagi meningkatkan produkviti sektor pertanian dan pendapatan usahawan. 

Kemudahan pembiayaan ini juga dapat diharapkan dapat membantu negara dalam usaha memodenkan sektor pertanian komersil serta sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan buruh yang dihadapi oleh sektor pertanian. Peruntukan RM-7 untuk Skim MAP adalah RM5 juta.

5.4.1 Tujuan Pinjaman
Pembiayaan pembelian jentera, mesin dan alat automasi pertanian untuk pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran di dalam sektor pertanian.

5.4.2 Bentuk Pinjaman
Pinjaman berjangka untuk pembelia jentera, mesin adan alat-alat automasi pertanian.

5.4.3 Kelayakan Pemohon

Kumpulan Sasar

(a) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

(b) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Persatuan nelayan Kebangsaan (NEKMAT)

(c) Ahli PPK dan PNK

Bukan Kumpulan Sasar

Mereka adalah yang selain daripada Kumpulan Sasar di atas. Bagaimanapun, perutukan pinjaman kepada bukan kumpulan dihadkan kepada 30% daripada peruntukan RM-7.

5.4.4 Had Pinjaman

Individu dan Perkongsian
Pinjaman minimum RM2,000 dan maksimum RM300,000

PPK, PPN, NAFAS, PNK, PNN dan NEKMAT, syarikat
Pinjaman minimum RM5,000 dan maksimum RM2 juta.

5.4.5 Had Pembiayaan
70%-90% daripada kos projek

5.4.6 Kadar Faedah
4% setahun

5.4.7 Tempoh Pinjaman
Jentera baru: 7 tahun
Jentera terpakai: 5 tahun

5.4.8 Projek Layak Dibiayai
(i) Pembelian jentera, mesin dan alat automasi.
(ii) Pengeluaran jentera, mesin dan alat automasi dan alat ganti

5.4.9 Perkara Yang Tidak Layak Dibiayai
(i) Kos buruh, upah, gaji dan elaun
(ii) Pembiayaan semula pinjaman

5.5 Pinjaman Komersil BPM

Disamping kemudahan pinjaman yang disebutkan diatas, BPM juga menyediakan pinjaman komersilnya sendiri. Pembiayaan kemudahan ini dibiayai oleh sumber dana yang digembelingkan oleh BPM sendiri khususnya daripada simpanan dan deposit awam. Dengan ini kadar faedah bagi pinjaman komersil pada dasarnya akan ditentukan oleh kos dana pasaran dari masa ke semasa. 

Pinjaman komersil boleh membiayai semua jenis projek asalkan ia berkaitan dengan aktiviti pertanian iaitu penanaman, perikanan dan penternakan. (Definasi pembiayaan sektor pertanian adalah merangkumi aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran keluaran pertanian.)

5.5.1 Tujuan Pinjaman
Pinjaman adalah bagi membiayai projek pertanian dalam bidang pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran hasil-hasil pertanian.

5.5.2 Jumlah Pinjaman
Pinjaman sehingga 70% daripada kos projek

5.5.3 Faedah Pinjaman
Kadar faedah pinjaman adalah antara 0-4% di atas Kadar Asas Berian Pinjaman (KABP). KABP BPM pada masa ini adalah 7.95%.

5.5.4 Jenis Kemudahan
Pinjaman berjangka, pinjaman pusingan, pembiayaan dagangan dan perbankan Islam.

5.5.5 Tempoh Pinjaman
Maksimum 10 tahun

5.5.6 Skop Pembiayaan
Aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran keluaran pertanian.

5.5.7 Cagaran
Pinjaman adalah bercagar penuh. 

5.5.8 Produk Pembiayaan
Di antaranya ialah pinjaman projek, kemudahan francais, pendahuluan simpanan tetap, pinjaman kontrek, kontrek tani, cagartani, pinjaman jentera, pinjaman landskap, pemfaktoran, surat jaminan bank, niagatani dan kemudahan Al-Bai'Bithaman Ajil.

5.5.9 Kelayakan
Individu, koperasi, persatuan, dan syarikat perniagaan yang berdaftar. Mereka mestilah rakyat Malaysia atau syarikat Malaysia (pegangan melebihi 51%)


6. KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan sejak 30 tahun BPM ditubuhkan ia telah memberi sumbangan yang bermakna terhadap pembangunan pertanian negara dan kumpulan sasar melalui program kredit dan pengembelingan deposit. Sungguh pun peranan BPM di masa hadapan banyak bergantung kepada Kerajaan yang merupakan pemilik tunggal BPM, namun berdasarkan kepada Wawasan yang digubal, BPM berhasrat untuk menjadi sebuah bank yang terkemuka yang memainkan peranan utama dalam pertanian negara tanpa melupakan kumpulan sasarnya iaitu peladang, penternak dan nelayan. Selagi Kerajaan menyalurkan peruntukan pembangunannya kepada BPM, selagi itulah BPM akan terus membangunkan dan memajukan kumpulan sasar ini.


Bank Pertanian Malaysia
Kuala Lumpur
Januari, 2000

kembali ke Laman Utama