UCAPTAMA OLEH
YB MENTERI PERTANIAN DAN
INDUSTRI ASAS TANI MALAYSIA
SEMINAR PELAN IMBANGAN DAGANGAN
DAN FORUM TEKNO-BIZ SEMPENA DENGAN
SHOWCASE
BIOBISNES MARDI 2005
1 - 2 OGOS 2005, 9.00 PAGI
MARRIOT HOTEL PUTRAJAYA, KUALA LUMPUR
________________________________________________________________
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Kepada Semua
Saudari
Pengara Majlis;
Y.B. Dato’ Rohani Abdul Karim
Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani Malaysia,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani Malaysia,
Y.Bhg. Datuk Dr. Saharan b. Hj. Anang
Ketua Pengarah MARDI,
Y.B.
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan dan Para Hadirin Sekalian,
1.
Alhamdullillah dan syukur ke hadrat Ilahi kerana
dengan limpah dan rahmatNya dapat kita berkumpul hari ini bagi membincang
persoalan pengeluaran makanan negara.
2.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih
dan tahniah kepada pihak penganjur, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,
Malaysia dan MARDI kerana menganjurkan seminar BOT dan Forum Tekno-Biz ini pada
ketika isu pembangunan pertanian bukan sahaja menjadi salah satu agenda utama di
peringkat nasional tetapi juga di peringkat global.
3.
Meskipun, negara-negara maju dan negara-negara
membangun yang berpendapatan tinggi telah mencapai kejayaan ekonomi yang besar,
dan mereka tidak lagi mengharapkan kepada sektor pertanian untuk pertumbuhan
ekonomi, mereka tetap berpegang dan komited kepada pembangunan pertanian.
Kepentingan pertanian kepada negara-negara ini terbukti dengan kewujudan
perlindungan dan sokongan yang tinggi, serta pelbagai bentuk campur tangan
kerajaan dalam pasaran pertanian sehingga ke hari ini.
4.
Komuniti Eropah (EC) membelanjakan lebih kurang
US$60 bilion setahun untuk “sokongan domestik” (domestic support) bagi petani mereka manakala Jepun dan Amerika
masing-masing membelanjakan US$36 bilion dan US$19 bilion setahun. Kebanyakan
negara membangun pula, yang kurang mempunyai sumber kewangan untuk
memberi subsidi menggunakan “tindakan sempadan” (border
measures) seperti kuota dan cukai import yang tinggi untuk melindungi
industri pertanian mereka. Kepentingan pertanian kepada negara, dan seterusnya
perlindungan dan sokongan yang diberikan kepada pertanian mempunyai pelbagai
sebab.
5.
Di peringkat awal pembangunan sesuatu negara, sektor
pertanian memainkan peranan penting dalam memastikan sekuriti makanan, peluang
pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan juga sebagai sumber rezab wang asing.
Manakala kepentingan sektor pertanian dalam menyumbang kepada peluang pekerjaan
dan pertumbuhan ekonomi berkurangan apabila sesebuah negara bertambah maju,
sekuriti makanan kekal sebagai agenda keutamaan untuk kebanyakan negara.
6.
Makanan, sebagai salah satu keperluan asas hidup,
dilihat sebagai satu prasyarat kritikal yang perlu dihasilkan sendiri tatkala
sesuatu negara memulakan pembangunan perindustrian. Banyak negara mengamalkan
polisi yang dikaitkan dengan tahap sara diri bagi bahan makanan yang kritikal,
terutamanya di dalam pengeluaran makanan utama.
7.
Penekanan terhadap sekuriti makanan ini menjadi asas
yang kuat dalam penggubalan polisi pertanian dan makanan semua negara.
Kebanyakan kerajaan merasai bahawa adalah tidak baik jika sesebuah negara itu
terlalu bergantung kepada sumber luar untuk makanan. Berbeza dengan
produk-produk lain, pengeluaran dan bekalan makanan antarabangsa, mungkin
menjadi runcing disebabkan oleh keadaan iklim dan cuaca buruk yang berterusan.
Ini akan menyukarkan sesebuah negara untuk memperolehi bekalan
antarabangsa walaupun negara tersebut mempunyai wang yang cukup untuk membeli
makanan. Selain dari itu peperangan
dan hubungan politik yang tidak menentu di antara negara, mengukuhkan lagi
sentimen terhadap sekuriti makanan.
8.
Selain dari rasional sekuriti makanan, banyak negara-negara
membangun melindungi pertanian mereka untuk meningkatkan pendapatan pengeluar,
yang kebanyakannya terdiri daripada petani kecil yang miskin. Justeru itu,
program pembangunan negara yang bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan
mempunyai hubungan rapat dengan
polisi pertanian dan perdagangan negara. Dengan ini, isu utama yang dihadapi
oleh negara membangun bukanlah hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi dan
pengumpulan kekayaan semata-mata, tetapi yang lebih pentingnya adalah bagaimana
kekayaan itu dapat dimanfaatkan dan diagihkan kepada semua lapisan masyarakat.
Imbangan di antara pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan pendapatan, merupakan
teras utama dalam membentuk strategi pembangunan negara. Stratetgi ini, pada
kebiasaannya, dilaksanakan melalui polisi perlindungan kepada petani-petani
tempatan daripada persaingan luar bagi memastikan mereka
mendapat harga yang lebih tinggi untuk hasil mereka.
9.
Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia juga
memberi keutamaan tinggi kepada sektor
pertanian. Kita juga mengutamakan sekuriti makanan dan memberi penekanan kepada
pengeluaran sara diri di tahap yang kita rasa
‘selesa’ untuk negara. Pertanian telah menjadi tulang belakang
ekonomi negara pada tempoh yang lama dan melalui pertanianlah kita mendapat
hasil negara untuk membiayai pembangunan sektor lain dan menempatkan kita di
kalangan negara membangun yang termaju pada masa ini. Program pertanian
pernah dan masih digunakan sebagai instrumen pengimbang untuk
meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kemiskinan negara. Polisi dan
program dalam sektor pertanian di Malaysia bagi tujuan mengurangkan dan
menghapuskan kemiskinan telah dijadikan contoh oleh Bank Dunia untuk diikuti
oleh negara lain. Pertanian telah menjadi penampan kita pada waktu kemelesetan
ekonomi, apabila permintaan untuk produk industri merosot dan sumbangan
pertumbuhan industri terhadap ekonomi negara menjunam.
Y.B.
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan dan Para Hadirin Sekalian,
10.
Meskipun kita telah mencapai banyak kejayaan dalam
pertanian dari banyak perspektif termasuk perspektif ekonomi dan sosial, kita
masih lagi belum begitu berjaya dalam sektor kecil makanan walaupun
prestasi sektor kecil komoditi utama adalah cukup cemerlang. Oleh sebab itu,
walaupun kita berada dalam kumpulan 20 negara teratas pengeksport pertanian di
dunia, kita masih lagi banyak mengimport bahan makanan. Nilai import meningkat
daripada RM11.4
bilion pada tahun 2000 kepada
anggaran RM14.0 bilion pada tahun
2005. Bagaimanapun, dari aspek
positif, eksport makanan juga meningkat daripada RM6.4 bilion hingga hampir
RM9.0 bilion pada jangka waktu yang sama. Jumlah import bersih stabil pada kadar
RM5 bilion untuk lima tahun belakangan ini.
Walaupun kita mempunyai sumber kewangan yang lebih daripada mencukupi
untuk membiayai import makanan, sejarah telah mengajar kita untuk tidak menjadi
terlalu leka. Semasa “Krisis Kewangan Asia”
pada tahun 1997/1998, harga makanan naik mendadak sebanyak 30% disebabkan
penurunan nilai matawang Malaysia. Keadaan
ini bersama dengan permintaan eksport yang lemah untuk produk industri,
telah memberi tekanan kepada rezab tukaran wang
asing kita untuk membiayai import. Kita juga menyaksikan ketidakpuasan
sosial di negara jiran dengan kenaikan
harga makanan. Ketidakpuasan sosial ini telah mencetuskan rusuhan kerana
orang-orang miskin di bandar sudah tidak mampu untuk membeli makanan bagi
menyara kehidupan harian mereka.
11.
Pengajaran pahit ini telah
mengajar kita supaya lebih berhati-berhati dalam pelaksanaan dasar-dasar
sektoral, yang sebelum ini mungkin lebih mengutamakan pengindustrian negara.
Kerajaan melalui MOA, telah mengambil langkah positif untuk meningkatkan eksport
dan mengurangkan import. Usaha kerajaan ini sudah mulai menampakkan kesan. Untuk
tempoh 2000-2005, kadar pertumbuhan import adalah lebih rendah, pada kadar 4.2
peratus setahun berbanding dengan eksport yang mencatatkan pertumbuhan purata
yang lebih tinggi pada kadar 6.5 peratus setahun. Prestasi perdagangan
antarabangsa yang lebih baik oleh sektor kecil makanan kebelakangan ini
menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjadi pengeksport bersih makanan. Isu inilah
yang akan diseminarkan pada hari ini.
12.
Kementerian saya
dan Jabatan serta Agensinya telah membangunkan perancangan yang
menyeluruh, termasuklah sasaran-sasaran
pengeluaran dan sasaran
Y.B.
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan dan Para Hadirin Sekalian,
13.
Dalam persekitaran polisi
sekarang, kita tidak dapat mencapai aspirasi ini melalui peningkatan
langkah-langkah perlindungan seperti mengawal import dan memberi lebih subsidi.
Jika dahulu kita boleh mengenakan sekatan import bagi meningkatkan pengeluaran
tempatan, kini, perkara ini tidak lagi dibenarkan oleh perjanjian-perjanjian
antarabangsa seperti WTO dan AFTA. Walaupun
jika ini dibenarkan, bantuan-bantuan sebegini adalah tidak baik untuk ekonomi
negara bagi tempoh jangka panjang. Mengawal import sudah tentunya akan
meningkatkan pengeluaran tempatan. Walau bagaimanapun, pengeluaran dalam keadaan yang tidak kompetitif akan melibatkan kos
pengeluaran yang lebih tinggi dan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna. Ini
akan menyebabkan inflasi dan mengurangkan kuasa membeli dan seterusnya akan
menurunkan taraf hidup penduduk. Inilah pendekatan yang Malaysia tidak mahu
ambil. Sebaliknya, usaha-usaha ke arah meningkatkan pengeluaran dan eksport
produk pertanian perlulah diambil melalui langkah-langkah “mesra pasaran”
dengan pencapaian faedah bandingan antarabangsa ke atas
pesaing. Dalam kata lain, kita perlu berusaha untuk mencapai
kecemerlangan supaya produk kita lebih kompetitif
daripada produk negara lain.
Y.B.
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’; Tuan-tuan, Puan-puan dan Para Hadirin Sekalian,
14. Kita boleh mengambil iktibar daripada kejayaan negara-negara lain dalam memajukan pertanian dan ekonomi mereka. Contohnya, kejayaan Thailand dalam pengeksportan makanan banyak berpunca daripada inisiatif-inisiatif pemasaran yang agresif dan berkesan serta dengan pengurusan “rantai penawaran” (supply-chain) yang efektif untuk memenuhi kehendak pasaran-pasaran tertentu. Belanda, contohnya, memberi fokus kepada teknologi tinggi yang digunakan dalam proses pengeluaran dan pasca tuai bagi mendapat produk yang berkualiti tinggi. Kita mungkin boleh mendapat pelajaran daripada negara-negara lain yang maju dan ke hadapan di dalam sektor makanan termasuk Amerika Syarikat dan New Zealand.
15.
Walaupun banyak kemajuan
yang telah dicapai, masih terdapat banyak lagi isu berlarutan dan cabaran baru
dalam sektor pertanian di Malaysia yang perlu di atasi. Ini termasuklah tahap
produktiviti dan kecekapan yang rendah, kekurangan skala ekonomi, nilai tambah
yang rendah , peningkatan hasil yang lembap (stagnant), sumber yang berkurangan, kehilangan lepas tuai dan kos
tenaga buruh yang tinggi dan lain-lain. Faktor-faktor ini, menyebabkan
pengeluaran makanan di Malaysia kurang kompetitif apabila dibandingkan dengan
pengeluar makanan dunia yang lain. Apakah yang harus kita lakukan untuk
mengatasi isu-isu ini? Konsep penyelesaiannya mudah tetapi perancangan strategi,
dan pelan tindakan yang diperlukan mungkin tidak semudah itu.
16.
Soalan asas yang perlu
dijawab adalah, bagaimanakah kita dapat mengeluarkan makanan pada harga dan
kualiti yang kompetitif supaya kita dapat memenuhi permintaan negara dan pada
masa yang sama mempunyai bekalan yang berlebihan untuk dieksport? Menurut teori
pembangunan klasik, bagi merealisasikan hasrat ini, sesuatu negara
sekurang-kurangnya perlu mengekalkan pertumbuhan serta mampu mengeluarkan
makanan pada kadar yang melebihi pertumbuhan penduduk. Kegagalan untuk berbuat
demikian akan menghasilkan situasi di mana pengeluaran makanan per kapita akan
menurun selari dengan kekurangan tanah pertanian per kapita. Keadaan ini
seterusnya akan memaksa petani-petani menjalankan aktiviti pertanian di kawasan
yang tidak sesuai untuk pertanian dan akhirnya merosakkan persekitaran, seperti
hakisan dan pengeringan tanah, tanah runtuh dan sebagainya. Beberapa tanda dan
gejala kerosakan persekitaran ini sudah dapat kita lihat di Malaysia. Keadaan
ini adalah tanda-tanda yang menunjukkan negara kita sedang mengalami sindrom
‘kehabisan sumber’ (resource
exhaustion) untuk pengeluaran pertanian.
Soalannya, bagaimanakah dapat kita mengelak daripada perangkap
‘kehabisan sumber’ (resource
exhaustion) ini dan melangkah ke hadapan dalam membangunkan pertanian untuk
pertumbuhan ekonomi dan ekuiti dan pada masa yang sama mampu memenuhi keperluan
makanan kita?
17.
Pada zaman primitif, di
mana bekalan makanan adalah lebih daripada mencukupi untuk keperluan manusia,
manusia hanya perlu memburu dan mencari serta mengumpul makanan untuk memenuhi
keperluannya. Keadaan ini diistilahkan sebagai “ekonomi memburu dan mengumpul”
(hunting and gathering economy).
Seterusnya sistem ekonomi kemudiannya berpindah kepada ‘agricultural and pastoral economy’, di mana makanan ditanam,
diusahakan dan dipelihara. Perkara asas yang mendorong “perubahan epokal” (epochal
change) dalam sejarah manusia, ini tidak lain dan tidak bukan ialah
peningkatan dalam kekurangan sumber
semula jadi disebabkan peningkatan populasi. Apabila populasi bertambah, dan
apabila pengeksploitan sumber asli mula melebihi keupayaan mereka untuk
berkembang secara semulajadi, sudah tentu ‘hunting
and gathering economy’ (ekonomi pemburuan dan pengumpulan) tidak lagi
dapat dikekalkan.
18.
Dengan ini adalah jelas
bahawa kekangan sumber semula jadi merupakan sebab yang menghadkan pengeluaran
makanan. Cara yang paling nyata untuk kita melangkah ke hadapan adalah
dengan membangunkan kapasiti dan keupayaan untuk menghapuskan kekangan
sekatan sumber ini. Kita perlu keluar daripada “perangkap kehabisan sumber”
(resource-exhaustion trap) jika kita
mahu menjadi pemain dunia (global
player) dalam makanan. Untuk melepasi diri daripada perangkap ini kita hanya
mempunyai satu jalan sahaja, iaitu dengan memperhebatkan kemajuan dan penggunaan
teknologi dalam pengeluaran pertanian dan makanan.
Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu meningkatkan pelaburan modal
termasuk usaha penggantian buruh dengan barangan modal seperti jentera dan “intellectual
capital”. Semua ini perlu
disokong dengan inovasi dalam
institusi-institusi yang berkait dengan pertanian. Secara ringkasnya, kita perlu
memperkasakan ‘pertanian berasaskan sains dan teknologi’ (science
and technology- based agriculture) untuk memastikan kemajuan pertanian di
samping mengambil initiatif bagi pengaturan baru institusi yang berupaya
menyokong kemajuan ini.
Y.B. Tan
Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan dan Para Hadirin Sekalian,
19.
Kerajaan adalah komited
kepada halacara pembangunan pertanian ini. Kita akan terus meningkatkan
pelaburan dalam R&D untuk kemajuan sains dan teknologi pertanian, dalam
pembangunan sumber manusia untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan berasaskan
sains dan teknologi termasuk bioteknologi dan sains kejuruteraan untuk
meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran pertanian dan makanan negara.
Pelancaran dasar bioteknologi Malaysia baru-baru ini dan perancangan untuk
menubuhkan pusat kecemerlangan agrobioteknologi di MARDI dan UPM adalah
testimoni kepada kesungguhan kerajaan untuk meneruskan pertanian berasaskan
sains dan teknologi.
20.
Kerajaan juga akan
melaksanakan inovasi institusi yang perlu untuk memastikan institusi yang
berkaitan dengan pembangunan pertanian tidak hanya relevan tetapi
pro-aktif dalam memberi tindak-balas kepada perubahan-perubahan dalam
pasaran pertanian. Inovasi institusi penting yang mungkin diperlukan ialah
konsolidasi perancangan institusi dalam penggunaan tanah. Walaupun sumber lain
seperti air, hutan dan sumber persekitaran juga penting, faktor tanah merupakan
kekangan yang paling teresap dan terikat untuk pembangunan pertanian. Dengan
perancangan institusi tanah yang lebih teratur, penggunaan tanah boleh dirancang
dengan lebih teliti untuk mengoptimakan pengeluaran.
21.
Inovasi institusi untuk
membaiki proses perolehan kemudahan kredit kewangan bagi pengumpulan modal dan
membiayai operasi pertanian adalah juga diperlukan. Kerajaan akan terus
memperbaiki perancangan institusi seperti di dalam aspek sistem penyampaian,
insentif, rangka perundangan dan lain-lain untuk memastikan pertanian berasaskan
sains dan teknologi akan berjaya dan perancangan kita untuk menjadi pemain dunia
atau global player dalam pengeluaran
makanan akan tercapai.
22.
Saya difahamkan ada banyak
teknologi-teknologi daripada MARDI yang akan dikemukakan di Forum Tekno-Biz ini
untuk disebarkan kepada pengusaha dan bakal-bakal pelabur.
Saya percaya teknologi-teknologi ini mampu diusahakan untuk menjadi
biobisnes-biobisnes yang
berdaya-maju dengan memberi keuntungan kepada para pengusaha dan pelabur. Di
samping itu, saya juga berharap supaya MARDI dan lain-lain agensi berkaitan
terus berusaha untuk mengeksploitasikan bidang-bidang sains baru bagi
mencernakan teknologi pertanian dan asas tani yang mampu membuahkan
sumber-sumber pertumbuhan baru untuk sektor pertanian dan negara.
Y.B.
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan, Puan dan Para Hadirin sekalian,
23.
Pencapaian aspirasi negara
untuk menjadi pengeksport makanan memerlukan gandingan usaha-usaha dan inisiatif
daripada semua pihak. Ingin saya
tekan sekali lagi kepentingan peranan institusi bagi tujuan ini. Contohnya
bank-bank perlu membangunkan pakej-pakej pinjaman yang lebih
inovatif untuk memenuhi kehendak khusus para pelabur di sektor pertanian.
Ciri-ciri biologi dalam perusahaan pertanian seperti tempoh gestasi
sebelum penghasilan perlu diambil kira. Aspirasi
negara ini juga tidak akan tercapai tanpa penglibatan menyeluruh oleh
kerajaan-kerajaan negeri. Kerajaan negeri perlu lebih inovatif dalam pengurusan
pentadbiran tanah supaya keperluan tanah-tanah yang
baik dan sesuai dapat diagih dan digunakan oleh pengusaha-pengusaha.
Tanpa faktor pengeluaran yang kritikal ini, objektif kita ini tidak
mungkin akan tercapai. Di samping
itu, penglibatan dan pelaburan oleh pihak swasta adalah sangat disarankan untuk
mencapai hasrat kerajaan.
24.
Saya berpandangan bahawa
dalam jangka panjang, usaha kita untuk memajukan sektor pengeluaran makanan
pertanian memerlukan agro-entreprenuers.
Kita perlu melahirkan satu generasi usahawan tani baru bagi menerajui usaha
merevolusikan sektor pengeluaran makanan dalam sektor pertanian.
25.
Sejarah menunjukkan bahawa
kekayaan dan pertumbuhan ekonomi negara diterajui oleh golongan usahawan. Sumber
ikan di laut dalam tidak mempunyai nilai dan tanah pertanian yang subur tidak
mengeluarkan hasil hijau tanpa usahawan membuat pelaburan membelikan vesel dan
kelengkapan tangkapan moden atau memajukan tanah pertanian sebagai tanaman
komersial. Insentif dan pinjaman yang disediakan oleh kerajaan tidak akan
digunakan sepenuhnya tanpa usahawan menampilkan ke hadapan untuk mengambil
risiko. Penemuan R & D yang dihasilkan oleh institut-institut penyelidikan
tempatan hanya akan disimpan di dalam makmal tanpa usahawan mengkomersialkannya
menjadi produk untuk dipasarkan.
26.
Sebagai langkah untuk
menambahkan market share hasil
pertanian, Kementerian ini akan mewujudkan Atase Pertanian di beberapa pasaran
utama hasil makanan kita. Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Atase Pertanian
diwujudkan di Shanghai, Rotterdam, Bangkok, Tokyo, Sydney, Los Angeles dan
Dubai.
27.
Kita bercadang untuk
membuka Pejabat Atase Pertanian pertama di Rotterdam, Holland. Eksport makanan
negara bagi tempoh 2000-2003 menunjukkan eksport ke Holland (5.3%) adalah
keempat terbesar selepas Singapura (28.2%), Indonesia (7.3%), dan Hong Kong
(5.5%). Pembukaan pejabat di Rotterdam bertujuan untuk memperbanyakan lagi syer
pasaran negara kita di Holland dan sebagai gateway
memasuki pasaran European Union.
28.
Adalah bertepatan sekali
Seminar Imbangan Dagangan ini diadakan bersama dengan Forum Tekno-Biz MARDI.
Ini adalah kerana kemajuan teknologi dalam pertanian
merupakan kunci kepada negara untuk memperolehi daya saing yang lebih
tinggi yang berupaya menukar Malaysia daripada sebuah negara pengimport makanan
kepada sebuah negara pengeksport makanan di dunia.
29.
Dengan ini, saya dengan
lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Seminar Imbangan Dagangan dan Forum
Tekno-Biz MARDI.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatulahi wabaraktuh.